4,179 terima Geran Agropreneur Muda pada 2018-2022

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Statistik bilangan belia yang telah diluluskan untuk menerima Geran Agropreneur Muda bagi tahun 2018 hingga 2022 seramai 4,179 orang dengan nilai geran sebanyak RM76,754,955.20.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk tahun 2018, seramai 785 usahawan telah menerima geran dengan jumlah peruntukan sebanyak RM12.74 juta.

Katanya, pada 2019, jumlah penerima geran adalah 750 orang melibatkan peruntukan sebanyak RM12.49 juta, seterusnya pada 2020 (1,149 – RM21.73 juta), 2021 (791 – RM15.75 juta), 2022 (704 – RM14.04 juta).

Tambahnya, daripada aspek skop bidang kelulusan geran dari tahun 2018 hingga 2022, bidang industri asas tani adalah penerima majoriti kelulusan geran yang melibatkan 1,577 orang peserta dengan jumlah peruntukan sebanyak RM27.54 juta diikuti dengan bidang tanaman melibatkan seramai 1,538 peserta dengan jumlah kelulusan peruntukan sebanyak RM28.42 juta.

“Bagi bidang ternakan seramai 743 orang peserta dengan jumlah kelulusan geran sebanyak RM14.72 juta dan bagi bidang perikanan pula jumlah kelulusan geran adalah sebanyak RM6.08 juta yang melibatkan 321 orang peserta,” ujar kementerian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Idris Ahmad [PN-Bagan Serai] di Dewan Rakyat, semalam.

Idris dalam soalannya meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan secara terperinci bagi setiap tahun 2018 sehingga 2022 berkenaan Program Agropreneur Muda, berapa bilangan belia yang menerima manfaat dan nilai kelulusan yang dikeluarkan.

Program Agropreneur Muda diperkenalkan bertujuan bagi membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan yang merangkumi kesemua bidang di sepanjang rantaian nilai seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani.

Pemohon yang berumur antara 18 hingga 40 tahun adalah layak memohon Geran Agropreneur Muda iaitu satu bentuk bantuan yang diberikan dalam bentuk barangan sehingga RM20,000. – HARAKAHDAILY 16/6/2023

- Advertisement -