Suhakam perlu berkiblatkan acuan agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam usaha memperjuangkan hak asasi manusia perlu berkiblatkan acuan agama.

- Advertisement -

Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, ini terutama dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara yang Islam menjadi agama Persekutuan.

Katanya, Suhakam tidak boleh berkiblat kepada Barat yang semua perkara dianggap sebagai hak asasi, iaitu asalkan untuk memenuhi tuntutan naluri manusia walaupun bertentangan dengan agama.

“Kita bukan nak menafikan hak individu lain dalam soal beramal dengan amalan mereka. Namun, Islam mengajar bahawa apabila manusia melakukan kerosakan, maka bala yang akan menimpa bukan hanya kena kepada orang jahat.

“Allah SWT menyebut dalam al-Quran: “Hendaklah kamu takut kepada azab yang kalau datang bukan ditujukan kepada orang jahat sahaja dalam kalangan kamu, malah orang yang baik dan berdiam diri tidak membetulkan kesilapan pun akan terkena sekiranya datang bala daripada Allah SWT.”

Ahmad Marzuk berkata demikian ketika membahaskan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi tahun 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, Allah SWT dalam al-Quran menyatakan bahawa penciptaan manusia mempunyai tujuan dan bukan dijadikan sebagai sia-sia.

“Allah SWT rangkumkan dalam beberapa ayat lain dalam al-Quran bahawa penciptaan manusia adalah sebagai ubudiyyah kepada Allah SWT, untuk menjadi hamba kepada Allah SWT tetapi merdeka untuk melakukan apa sahaja selagi tidak melanggar batasan agama.

“Kedua, tujuan penciptaan kita ialah sebagai khalifah yang Allah SWT sebut dalam al-Quran untuk memakmurkan bumi Allah SWT. Yang disebut oleh Ibnu Khaldun, kerja kita ialah menyambung kerja-kerja Nabi, Rasulullah SAW iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia ini, negara ini, masyarakat ini berdasarkan agama. Yang ketiga, kita memikul amanah yang berat.

Sehubungan itu, katanya Suhakam perlu membuat laporan berdasarkan konsep Malaysia sebagai negara Persekutuan yang Islam adalah agama rasmi. – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -