KOTA BHARU: Umno harus membuka benak fikiran dan merenung jauh perjalanan perjuangan bangsa dan agama oleh parti itu, namun akhirnya kini duduk di bawah pemerintahan parti tidak berteraskan Melayu-Islam.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, sedangkan bangsa ini masih berada di tanah air sendiri dengan memiliki kekuatan pada bilangan, sejarah, agama dan segala-gala yang ada.
Rupanya ujar bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, Allah SWT telah mengingatkan di dalam al-Quran agar umat ini jangan bertelagah dan berpecah kerana nanti akan hilang semangat dan kekuatan.
Beliau mengimbas kenangan ketika menyediakan draf Piagam Muafakat Nasional antara PAS dan Umno di mana di saat akhir telah memasukkan frasa yang begitu penting dalam hubungan kedua-dua parti itu.
“Kalau sekiranya balah pula Umno dan PAS, berselisih pendapat, sama-samalah berikrar untuk kembali merujuk pada al-Quran dan al-Hadis. Kita bawa dalam mesyuarat, kita masukkan ayat itu di saat-saat akhir.
“Menandakan kesungguhan kita supaya Umno dan PAS memimpin bagi menebus maruah dan menentukan negara ini dipimpin oleh parti-parti Melayu, Bumiputera tanpa meminggirkan kaum-kaum yang lain.
“Dan falsafah memimpin negara ini berasaskan nilai-nilai yang terdapat dalam panduan al-Quran dan al-Hadis,” ujarnya pada Ceramah Mega Ppakat Pertahan ‘PAS Pilihanku’ di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Katanya, benarlah sebagaimana janji Allah, apabila gabungan itu terjadi, sikap perkauman sempit lagi tidak wujud, malah pemerintahan secara keadilan untuk semua dapat diberi dengan meyakinkan.
Namun kesali beliau, Muafakat Nasional setelah itu mati tidak berkubur kerana Presiden Umno membuat jajaran baru meninggalkan sahabat parti-parti Bumiputera dan Islam, pergi kepada parti sosialis liberal.
Tan Sri Annuar turut menceritakan kembali detik-detik dan sikap Umno dalam mengatur tindakan menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Umno ni lebih mementingkan peribadi, Umno ni makin tunjuk sikap dia. Tak ambil kira sentimen perasaan rakyat, tak ambil kira masalah untung nasib rakyat. Hanya untuk nak menyelamatkan diri sendiri.
“Naratif mereka fitnah sana, fitnah sini. Akhirnya parti kalah,” ujarnya mendedahkan kemahuan dan desakan Presiden Umno untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri berlaku sejak awal lagi. – HARAKAHDAILY 12/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!