Jadikan Pulau Banding hub pemasaran Orang Asli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pulau Banding di Gerik berpotensi besar membangunkan ekonomi Orang Asli dengan dijadikan hub pengumpulan hasil hutan masyarakat berkenaan.

- Advertisement -

Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berkata, perkampungan Orang Asli dapat memasarkan segala hasil hutan dengan menjual di pasar tani.

“Adakah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berhasrat untuk mewujudkan satu kawasan pembangunan ekonomi yang sesuai untuk perkampungan Orang Asli seperti pasar tani khas supaya mereka dapat memasarkan hasil hutan dan sebagainya?

“Saya melihat potensi yang amat baik jika ia dapat dilaksanakan dan Gerik bersedia menjadi projek perintis bagi menjayakan rancangan ini kerana kawasan Pulau Banding amat sesuai dijadikan hub pengumpulan hasil hutan masyarakat Orang Asli.

“Terdapat lebih 30 kampung Orang Asli di kawasan itu,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengutamakan pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli.

Katanya, ini termasuk usaha memperkasakan program pembangunan ekonomi seperti penyediaan gerai dan jualan untuk masyarakat kampung Orang Asli.

“Perancangan ini kita buat berdasarkan permohonan dan potensi kampung Orang Asli.

“Sebenarnya di bawah JAKOA, kita telah memperkasakan program ini melalui koperasi Orang Asli yang sentiasa menjadi fokus untuk peningkatan pendapatan masyarakat Orang Asli melalui penyediaan geran, selain membantu membina atau membaik pulih premis perniagaan. – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -