PSR: Tujuh impak ekosistem akuatik, sumber perikanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa memantau impak projek tambakan laut terhadap terumbu karang, kawasan perikanan dan rumpai laut melalui kajian Social Impact Assessment (SIA) dan Environmental Impact Assessment (EIA).

- Advertisement -

KPKM merujuk kepada cadangan projek tambakan laut bagi pembangunan tiga pulau buatan di Pulau Pinang (PSR), menjangkakan tujuh impak berlaku terhadap ekosistem akuatik dan sumber perikanan, iaitu:

i) keluasan kawasan penangkapan ikan bagi Zon A akan mengecil dan menjejaskan seramai 4,939 nelayan di zon tersebut di Pulau Pinang menjalankan aktiviti penangkapan ikan seterusnya akan mengurangkan hasil pendapatan nelayan akibat persaingan tinggi;

ii) hasil pendaratan di kawasan pembangunan ini menyumbang hampir 13,500 tan metrik setahun iaitu 24 peratus dari keseluruhan hasil pendaratan bagi pendaratan negeri Pulau Pinang yang berjumlah 57,000 tan metrik. Hasil pendaratan kawasan-kawasan berhampiran lokasi pembangunan iaitu Batu Maung, Teluk Tempoyak, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul akan turut terjejas;

iii) memusnahkan kawasan nurseri bagi pelbagai hidupan akuatik dengan kepadatan tinggi. Perkara ini akan membawa kepada ketidakupayaan daya tampung sumber perikanan berbanding dengan bilangan nelayan Zon A sedia ada. Oleh yang demikian, kuota lesen Zon A adalah perlu dikurang agar sumber perikanan terjamin;

iv) mengganggu norma kitar hidup udang akibat kehilangan dataran lumpur di kawasan selatan Pulau Pinang yang merupakan habitat dan kawasan nurseri sebagai tempat persinggahan. Kemusnahan kawasan ini akan menyebabkan kehilangan habitan penting dan memberi impak yang besar terhadap populasi hidupan marin untuk jangka masa panjang;

v) kawasan selatan Pulau Pinang juga merupakan kawasan penting bagi aktiviti akuakultur terutamanya operasi hatcheri. Kualiti air adalah salah satu faktor penting dalam operasi penternakan. Laporan EIA mencatatkan kualiti air kawasan tersebut semakin merosot disebabkan pemendapan yang tinggi. Kualiti air akan semakin teruk sekiranya projek ini diteruskan dan mengakibatkan penghasilan benih udang bagi kegunaan akuakultur akan terjejas;

vi) kesan dari projek PSR ini bukan hanya di Pulau Pinang sahaja bahkan hingga ke utara Perak kerana sumber pasir yang berpotensi untuk diambil adalah daripada perairan Perak iaitu di kawasan 20 batu nautika dari perairan Manjung hingga Kerian, Perak. Manakala projek ini memberi kesan jangka panjang kepada sumber perikanan di selatan Negeri Kedah; dan

vii) sekiranya ini berlaku, ianya akan menyebabkan kawah yang besar di dasar laut dan menjejaskan habitat semulajadi dasar laut termasuk terumbu karang yang merupakan tempat pembiakan ikan.

KPKM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PN-Sik] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Tarmizi Sulaiman

Ahmad Tarmizi dalam soalannya meminta menteri berkenaan menyatakan kajian terhadap impak bagi terumbu karang, kawasan perikanan dan rumpai laut yang akan terjejas termasuklah kepada negeri Kedah dan Perak sekiranya projek tambakan laut bagi pembangunan tiga pulau buatan di Pulau Pinang diteruskan. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -