4 gempa kuat di Malaysia dalam tempoh 100 tahun

Che Alias Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menegaskan Malaysia terletak dalam zon tektonik yang stabil berdasarkan Peta Seismotektonik tahun 2009 yang diterbitkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

- Advertisement -

Menurut NRECC, susulan Malaysia yang kerap kali merasai kesan gempa bumi daripada Indonesia dan Filipina yang berkemungkinan berlakunya ancaman gempa bumi di negara ini, kementerian akan sentiasa mengemaskini data Peta Seismotektonik dan Peta Bahaya Seismik Malaysia bagi menyalurkan maklumat yang tepat dan terkini dari semasa ke semasa.

Katanya, dalam tempoh 100 tahun, sebanyak empat kali gempa tahap kuat, satu tahap sederhana dan lapan puluh tujuh gempa tahap lemah telah berlaku di Malaysia.

NRECC menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Che Alias Hamid [PN-Kemaman] di Dewan Rakyat yang ingin tahu persediaan yang dilakukan kerajaan dalam berhadapan dengan ancaman gempa bumi berikutan negara kerap kali merasai gempa bumi daripada Indonesia dan Filipina.

Tambahnya, kementerian juga telah melaksanakan mitigasi bukan struktur berbentuk pengurusan risiko bencana geologi berteraskan komuniti melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membangunkan komuniti selamat di kawasan yang terdedah terhadap bencana selaras dengan persetujuan Majlis Perancangan Fizikal Negara Ke-38 Bilangan 2 Tahun 2021 berhubung Kertas Alert yang bertajuk ‘Keperluan Pemerkasaan Komuniti Dalam Menangani Bencana Geologi Tanah Runtuh’.

Katanya lagi, kementerian melalui JMG telah melaksanakan aktiviti mengemaskini serta menerbitkan Peta Seismotektonik dan Peta Bahaya Seismik Malaysia untuk rujukan pembangunan negara, berperanan dalam semakan dan memberi input penambahbaikan Peraturan Tetap Operasi Bencana Gempa Bumi yang di terajui oleh NADMA pada 2 Februari 2023.

Selain itu, menganjurkan sesi libat urus bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berkepentingan di seluruh negara berkaitan Pemakaian Maklumat Peta Bahaya Seismik Dalam Rekabentuk Struktur Tahan Gempa dan pengurusan Risiko Gempa Bumi sepanjang tahun 2021. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -