D8: Perdagangan Malaysia RM190.49 bilion pada 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah penyumbang kedua terbesar kepada Developing 8 Organisation for Economic Cooperation (D-8) iaitu sebanyak EUR197,172.00 (hampir RM1 juta) setiap tahun secara konsisten.

- Advertisement -

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, jumlah perdagangan di antara Malaysia dan negara-negara anggota D8 adalah USD43.28 bilion (RM190.49 bilion).

Katanya, ini merupakan peningkatan sebanyak 6.69 peratus berbanding USD34.37 bilion (RM142.56 bilion) yang direkodkan pada 2021.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini,

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Tuan Ibrahim dalam soalannya meminta Menteri Luar Negeri menyatakan adakah kerajaan berhasrat memperteguh dan memperluaskan lagi kerjasama sesama negara dalam D8.

Menurut Zambry, D8 atau Kumpulan Lapan Negara-Negara Membangun ditubuhkan pada 15 Jun 1997 melalui Deklarasi Istanbul.

Ahli-ahli dalam kumpulan kerjasama itu adalah Bangladesh, Indonesia, Iran, Malaysia, Mesir, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

Matlamat utama D8 adalah untuk menggalakkan kerjasama perdagangan dan pembangunan sosioekonomi dalam kalangan negara-negara anggotanya.

Sejak penubuhannya, kata Zambry, D8 telah berjaya memainkan peranan sebagai wadah dialog dan perbincangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama di bawah enam bidang keutamaan kerjasama iaitu perdagangan; pelancongan; pertanian dan keterjaminan makanan; industri; serta tenaga dan galian.

“Menghampiri tiga dekad penubuhannya, D8 telah menjayakan sejumlah inisiatif dan projek kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat, sektor-sektor swasta dan perniagaan negara-negara anggota. Malaysia juga tidak ketinggalan daripada menerima kesan positif daripada penyertaan di dalam D8,” ujarnya.

Katanya, sebagai salah satu negara pengasas D8, Malaysia sentiasa terlibat secara aktif dalam semua aktiviti, projek dan inisiatif pertubuhan tersebut.

Manifestasi komitmen tinggi Malaysia di dalam D8 dizahirkan melalui penyertaan kepimpinan tertinggi negara, iaitu Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dalam kesemua sepuluh Sidang Kemuncak D8 sejak 1997 hingga 2021.

Menurutnya, mengambil kira faktor saiz pasaran berjumlah 1.1 bilion penduduk, dan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kumulatif USD5 trilion, D8 mempunyai potensi besar untuk menjayakan kerjasama-kerjasama ekonomi dan perdagangan di kalangan negara-negara anggotanya.

“Adalah wajar Malaysia kekal aktif dan komited di dalam D8 bagi terus memperkukuhkan pelbagai kerjasama sektoral dan ekonomi terutama dengan negara-negara anggota D8,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -