Selaraskan kemasukan pelajar ke SBP dan MRSM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) wajar diselaraskan supaya tidak membebankan rakyat.

- Advertisement -

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berkata, segelintir pelajar mendapat dua kali tawaran, tetapi pada masa berlainan.

“Kenapa keputusan SBP tidak selaras dengan keputusan kemasukan ke MRSM menyebabkan ada pelajar mendapat dua kali tawaran ke sekolah.

“Mula dia masuk SBP, kemudian dalam masa sebulan atau dua bulan, pelajar ini dapat pula ke MRSM, persiapan awal nak ke SBP itu sudah habis, jadi bagi keluarga yang miskin mereka perlu membuat persiapan kewangan lain pula jika mahu pindah ke MRSM.

“Saya cadangkan keputusan kemasukan sekolah hendaklah diselaraskan supaya tidak membebankan rakyat dan ahli keluarga terbabit,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan ketika Sesi pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Roslan juga bertanya Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung keputusan peperiksaan Pentaksiran Berasaskan Darjah (PBD) yang tidak menjadi merit untuk kemasukan ke SBP atau Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

“Kenapa keputusan PBD tidak menjadi merit untuk kemasukan ke sekolah SBP atau SMKA. Murid Tahun Enam terpaksa menghadapi satu peperiksaan lagi, iaitu PKSK (Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus) dan setelah mendapat keputusan cemerlang di PKSK, baru mereka dipilih,” katanya.

Justeru katanya, perkara tersebut menyebabkan kemasukan ke sekolah terbabit lewat daripada sekolah harian biasa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) masih dalam pemantauan dan akan ditambah baik.

“Saya akan mendapatkan fakta jumlah pelajar yang terlibat kerana UASA dilaksanakan kali pertama tahun lepas.

“Jadi kami memang dalam sesi libat urus melibatkan ibu bapa, guru besar dan banyak pihak, kami akan memantau bagi menambah baik proses ini dengan pentaksiran bilik darjah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -