Istiqamah bersama perjuangan Almarhum Tan Sri TGNA

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia merafak sembah menzahirkan rasa gembira dan penghargaan kami kehadapan KDYMM Yang di-Pertuan Agong atas pengurniaan darjah kehormat Panglima Setia Mahkota (PSM),dengan gelaran Tan Sri kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong. Pengurniaan darjah kehormat ini merupakan suatu pengiktirafan yang setimpal dengan usaha dakwah siyasah dan tarbiah yang diperjuangkan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang berjuang dalam medan politik bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pengurniaan darjah kehormat ini meletakkan nama Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai antara tokoh utama PAS berada sebaris dengan tokoh negarawan lain yang telah berjasa dalam pembangunan negara Malaysia pasca kemerdekaan. Jasa Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang menjadi Menteri Besar Kelantan daripada 1990 hingga 2013 menerusi agenda ‘Membangun Dengan Islam’ merupakan suatu sumbangan yang sangat signifikan buat negara.

Pemuda PAS Malaysia mengambil inspirasi daripada peristiwa bersejarah ini dengan meneruskan tekad dan komitmen kami sebagai generasi pelapis perjuangan PAS untuk bersama-sama dengan anak didik Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti YAB Menteri Besar Kelantan Dato Ahmad Yakob untuk terus istiqamah dalam perjuangan politik Islam dan keadilan sosial.

Hakikatnya, obor perjuangan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih belum padam menyaksikan perjuangan politik Islam akan terus kekal relevan sehingga bila-bila, serta dalam masa yang sama isu rakyat dan keadilan sosial seperti isu hak royalti negeri Kelantan sehingga kini terus dinafikan akibat permainan politik sempit sesetengah pihak.

Pemuda PAS dengan ini menyeru seluruh anak muda yang mengagumi perjuangan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta rakyat Kelantan untuk terus kekal bersama idealisme perjuangan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang istiqamah bersama PAS sehingga akhir hayat. Jangan kita dikaburi dengan usaha mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengalihkan perhatian kita dengan memberikan gelaran tanpa menghormati hak rakyat Kelantan apabila sehingga kini menafikan wang royalti rakyat Kelantan.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -