PRN: Peralihan kuasa di Pulau Pinang tidak mustahil

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Kebangkitan rakyat mampu menjadikan peralihan kuasa daripada DAP-Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai sebagai sesuatu yang boleh berlaku pada PRN nanti termasuk di Pulau Pinang.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, perkara tersebut yang didakwa mustahil berlaku kerana terdapat ramai pengundi bukan-Islam, hakikatnya telah berubah dengan perkembangan politik mutakhir ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu menjelaskan, para pengundi dalam kalangan bukan-Islam telah semakin musykil dengan PH yang dirasakan mereka telah berbohong kerana berpakat dengan Umno-Barisan Nasional (BN).

Terang beliau terhadap situasi tersebut, sebelum ini para pengundi memberi sokongan kepada PH kerana mahu menolak Umno yang didakwa terlibat dengan isu-isu rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

“Orang Cina pun fikir. Orang Cina ni pantang dia orang tipu. Orang Cina dia tak suka, dia tak hendak apabila pemimpin bersikap untuk menipu mereka. Dan banyak isu-isu di Pulau Pinang dan isu tatakelola,” ungkapnya.

Datuk Ustaz Idris berucap pada Himpunan PN BEST Peringkat Pulau Pinang merangkap Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri yang berlangsung di Kubang Semang, di sini malam tadi.

Menurut beliau masyarakat kaum Cina juga kesal dengan isu pencemaran hingga menjejaskan sumber air untuk keperluan harian mereka, lebih-lebih lagi yang cintakan pemeliharaan alam sekitar.

Manakala ahli-ahli Umno pula katanya, sebelum ini menolak sikap DAP dan PH terhadap parti itu mulai merasa tidak senang dengan tindakan parti mereka bersama DAP-PH termasuk diarah mengundi DAP.

Jelas beliau, mereka merasa tertipu dan protes mulai berlaku kerana selama ini DAP-PH bukan sahaja memburuk-burukkan Umno, malah sehingga kini membayangkan tidak memberi laluan kepada parti itu bertanding di negeri ini.

“Umno bukan takat gigit jari, gigit siku, tak apa biar pemimpin mereka. Tapi pengikut-pengikut mereka yang kita tahu. Yang ikhlas dalam perjuangan. Kita tahu hat bawah-bawah ni ikhlas dalam perjuangan. Mereka tak ada kepentingan apa.

“Yang terdiri dari kalangan tokoh-tokoh awal, dari kalangan orang-orang tua lama. Mereka bersama-sama dengan Umno dengan harapan Umno itu menjadi payung kepada orang Melayu. Sekarang sudah tidak ada.

“Bayangkan ketika Umno mengatakan ‘Kami tolak DAP, kami tolak Anwar Ibrahim, kami tolak PH’ dia dapat 30 kerusi. (Sekarang ) Dia (DAP-PH) block (halang) kerusi Umno,” ujarnya mengajak renungan.

Tambah beliau lagi, akar umbi Umno juga memberi reaksi tidak dapat menerima fitnah keterlaluan dilakukan PH terhadap PAS terutamanya seperti isu tuduhan terima dana judi dan ekstremisme. – HARAKAHDAILY 4/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -