Pembangunan Kedah, Perlis lebih jitu, tepat

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Langkah memuktamadkan sempadan Kedah dan Perlis membolehkan kedua-dua negeri membuat perancangan pembangunan yang lebih tepat dan jitu terutamanya di kawasan sempadan masing-masing.

- Advertisement -

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, perjanjian persempadanan darat dan maritim (laut) antara Kedah dan Perlis melibatkan kawasan darat seluas 44.3 kilometer (km) dan 5.6km kawasan maritim yang termeterai semalam, Isnin (29 Mei) itu, dapat menyelesaikan banyak masalah berkaitan sempadan kedua-dua negeri, khususnya isu hak milik tanah.

“Isu persempadanan tanah merupakan perkara yang agak sensitif dan dengan perjanjian persempadanan darat dan maritim (Kedah dan Perlis) ini, perkara sedemikian (isu sempadan tanah) dapat diselesai dan memudahkan pihak saya yang baru sahaja mengambil alih pentadbiran Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Mohd Shukri dan dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Mohammad Zaki Mohd Ghazali dan Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial, yang mewakili Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Muhammad Yasir Yahya.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Zepri Saad.

Menurut Mohd Shukri, perjanjian persempadanan berkenaan dapat menyelesaikan banyak masalah yang timbul melibatkan sempadan kedua-dua negeri, khususnya yang menjadi isu sensitif dalam kalangan rakyat, antaranya isu sempadan di Kuala Sanglang dan isu tanah perkuburan di Kobah.

“Contohnya ketika pandemik Covid-19 dahulu, bila sempadan tidak dimeterai dengan muktamad, penduduk yang tinggal di sempadan seperti Kuala Sanglang akan mengambil kesempatan di kedua-dua pihak sama ada Perlis mahupun Kedah.

“Dengan perjanjian persempadanan ini saya yakin ia boleh menyelesaikan masalah-masalah sedemikian,” jelasnya.

Tambah beliau, perjanjian persempadanan berkenaan juga secara tidak langsung akan membolehkan pihak berkuasa kedua-dua Perlis dan Kedah menguatkuasakan kutipan hasil cukai di kawasan sempadan negeri dengan lebih cekap dan terurus serta mencegah pencerobohan tanah serta penerokaan sumber tidak sah.

“Melalui usaha ini, saya percaya Kedah dan Perlis akan menerima manfaat secara bersama dari segi pembangunan, limpahan ekonomi, kutipan hasil serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -