Kedah, Perlis meterai perjanjian persempadanan bersejarah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah dan Perlis melakar sejarah apabila memuktamadkan perjanjian sempadan darat dan maritim secara serentak.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim itu juga merupakan yang pertama di Malaysia.

“Ini merupakan rekod kerana sempadan darat dan maritim ditandatangani serentak dan ia juga perkara yang pertama dimuktamadkan di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Muhammad Sanusi dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Mohammad Zaki Mohd Ghazali dan Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial, yang mewakili Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Muhammad Yasir Yahya.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Zepri Saad.

Bersandarkan hasil kerja penandaan dan pengukuran yang dimuktamadkan itu, keseluruhan sempadan Kedah dan Perlis bagi kawasan darat adalah sepanjang 44.3 kilometer berbanding anggaran asal iaitu 41.5 kilometer sebelum ini.

Sempadan maritim pula ditetapkan sepanjang 5.6 kilometer atau tiga batu nautika dengan pelan kerja hasil penandaan serta pengukuran sempadan darat dan maritim tersebut, telah pun ditandatangani pada 27 September 2022 secara bersama oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Galian kedua-dua negeri.

Muhammad Sanusi berkata, perjanjian itu bukan sahaja memudahkan urusan usaha sama, penguatkuasaan pembangunan dan kerja-kerja sempadan, malah untuk menentusahkan garis sempadan kedua-dua negeri.

Menurutnya, ketika ini terdapat rumah yang didirikan berada di sempadan negeri Kedah dan Perlis serta sebaliknya.

“Contohnya, dapur di negeri Perlis, ibu rumah (ruang tamu) di Kedah. Masak di Perlis, makan di Kedah.
Jadi dengan muktamadnya sempadan yang dimeterai hari ini, perkara itu memudahkan urusan teknikal untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada JUPEM atas perlaksanaan kerja-kerja berkenaan yang agak lama selepas MoU kedua pada 2017.

“Asas pengukuran sempadan berasaskan Warta Negeri Kedah (1953) dan Warta Negeri Perlis (1954). Dari situlah diambil asas untuk tentukan sempadan yang dimuktamadkan hari ini,” kata beliau lagi.

Katanya, perjanjian kali ini dimuktamadkan dan pihaknya sangat bertuah kerana mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada JUPEM.

“Tahniah juga kepada rakan sejawat, Menteri Besar Perlis. Semoga melalui perjanjian ini, kedua-dua negeri berdaulat ini (Perlis dan Kedah) dapat menentukan garis sempadan antara kedua-dua pihak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -