12 ditahan setakat ini bantu siasatan kes gaduh di Tampoi

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Seramai 12 individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang berlaku di Tampoi di sini pada 27 Mei lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 17 hingga 35 tahun.

“Sehingga hari ini kita telah tahan 12 orang yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut. Setakat ini juga hanya seorang yang masih menerima rawatan di hospital kerana mengalami beberapa kecederaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes pergaduhan di Tampoi baru-baru ini.

Kamarul Zaman berkata pihaknya masih menyiasat punca pergaduhan dan tindakan tegas akan diambil terhadap dalangnya, selain menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 365 dan Seksyen 385 kanun sama.

Sebelum ini tular video berdurasi 28 saat di media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu tersebut.

Sementara itu, mengenai perkembangan kes penganjuran poster parti seks bebas yang tular di Twitter baru-baru ini, beliau berkata pihaknya memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur yang sedang dikenal pasti itu.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung dakwaan penganjur akan tetap mengadakan parti itu pada tarikh baharu di lokasi yang dirahsiakan.

“Bagi maklumat pada polis dan kita akan siasat, kita mengalu-alukan orang ramai untuk turut membantu,” katanya.

Kamarul Zaman sebelum ini memberi amaran keras kepada penganjur supaya membatalkan acara tersebut dan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 292 (e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. – BERNAMA

- Advertisement -