Saingi dolar AS: NDB keluar bon RM5.5 bilion

Bangunan ibu pejabat New Development Bank (NDB) di Shanghai, China. (FOTO: Global.ChinaDaily)
- Advertisement -

SHANGHAI: New Development Bank (NDB) telah mengeluarkan bon denominasi Renminbi (RMB) sebanyak 8.5 bilion yuan (RM5.5 bilion) dalam pasaran bon antara bank China.

- Advertisement -

Menurut pengumuman bank tersebut dalam laporan agensi berita Xinhua, tindakan itu telah  dilakukan pada Isnin (29 Mei) dan merupakan pengeluaran bon terbesar yang dilakukan baru-baru ini.

“Tindakan sebegini bertujuan untuk membiayai infrastruktur dan melakukan aktiviti pembangunan yang mampan dalam ekonomi negara-negara BRICS,” kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan NDB, Leslie Maasdorp.

NDB merupakan bank yang dibina oleh negara-negara BRICS termasuk  Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, yang berpusat di Shanghai, China.

Ia dibuka pada 21 Julai 2015 dan telah menerima negara Bangladesh, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Uruguay sebagai ahli baharu BRICS pada 2021.

Sementara gerakan BRICS merupakan antara langkah alternatif yang dilakukan bagi menghadapi apa juga cabaran kekuasaan mata wang dolar Amerika Syarikat.

Menurut laporan Modern Diplomacy, ia adalah melalui pembinaan sistem kewangan alternatif yang membolehkan sesebuah negara melakukan apa juga perniagaan tanpa menggunakan dolar AS.

Ia berpotensi menyebabkan kejatuhan dolar AS sebagai kuasa ekonomi utama dunia yang turut memberikan kesan yang mendalam terhadap setiap mata wang negara lain.

Sehubungan itu, Maasdorp dalam kenyataannya berkata, langkah pengeluaran bon RMB itu adalah sebagai usaha pihak NDB dalam meningkatkan kehadirannya dalam pasaran modal tempatan negara-negara tersebut.

“Kami juga mewujudkan bon dan memberi pinjaman dalam bentuk mata wang tempatan negara-negara tersebut termasuklah pasaran bon antara bank China,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -