Kalimah Allah: Implikasi kepada Islam agama Persekutuan

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan adakah pihak kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang begitu besar implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad mengemukakan soalan itu pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [ Langkawi ] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan:-

(a) apakah Kementerian telah berpuas hati dengan pencapaian wanita di dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang lain; dan

(b)  adakah kuota 30% telah dicapai dan sekiranya tidak tercapai apakah peranan Kementerian bagi memenuhi hasrat 30% yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [ Masjid Tanah ] minta Menteri Kerja Raya menyatakan mengapakah sistem RFID masih mengalami masalah sehingga berlaku kesesakan di plaza tol dan apakah perancangan pihak Kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [ Kuala Nerus ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan status terkini pembinaan Rumah Belia Madani (RBM) dan apakah Kementerian mempunyai suatu garis masa untuk memperluas pembinaan RBM ke seluruh negara.

Dato’ Azman bin Nasrudin [ Padang Serai ] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sejauh manakah pencapaian Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dilancarkan pada November 2021, dan senarai inisiatif yang telah dilaksanakan.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [ Pengkalan Chepa ] minta Menteri Pendidikan menyatakan program pendidikan yang ditawarkan bagi sekolah teknik, vokasional dan TVET yang berpadanan dengan permintaan sektor pekerjaan serta usaha Kementerian bagi meningkatkan kadar kemenjadian pelajar dalam bidang pekerjaan.

Dato’ Rosol bin Wahid [ Hulu Terengganu ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah langkah holistik yang dirangka oleh Kementerian terhadap lambakan kediaman berharga dalam lingkungan RM500,000 hingga RM1 juta yang dilaporkan mencatat jumlah tidak terjual tertinggi sebanyak 33.6 peratus daripada keseluruhan kediaman siap dibina yang tidak terjual serta jalan penyelesaiannya.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [ Machang ] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah perkembangan terkini projek pembinaan serta naik taraf lebuh raya-lebuh raya di negeri Kelantan seperti Central Spine Road 34. Berdasarkan pemerhatian, lebuh raya ini telah terlewat dari rancangan asal siap kerja.

Tuan Sabri bin Azit [ Jerai ] minta Menteri Kesihatan menyatakan hasil perbincangan jawatankuasa peringkat tertinggi yang ditubuhkan bagi menangani isu doktor kontrak.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [ Parit ] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan sama ada Kementerian mempunyai perancangan untuk mewujudkan satu sistem yang komprehensif dalam mengesan dan memantau golongan warga emas yang tinggal bersendirian di seluruh negara bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [ Tasek Gelugor ] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah yang diambil oleh Kementerian untuk menghapuskan monopoli operator sekolah amanah dan menggalakkan pertambahan bilangan operator sekolah amanah di masa hadapan.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [ Kuala Nerus ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sejauh mana aplikasi Sistem Bank Data Perumahan (TEDUH) berjaya menangani isu perumahan ‘overhang’ dan sehingga kini sejauh mana aplikasi ini dimanfaatkan oleh rakyat.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta Menteri Kesihatan menyatakan langkah Kerajaan dalam menambahbaik kemudahan pusat rawatan pesakit buah pinggang khususnya di kawasan luar bandar.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk melaksanakan laporan audit keselamatan membabitkan kemudahan utiliti termasuk aspek pendawaian di setiap hospital dan klinik di seluruh negara ekoran insiden kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada tahun 2016 yang telah meragut 6 nyawa.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [ Parit ] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan usaha drastik oleh Kementerian bagi mengatasi masalah pembuangan bayi yang masih serius pada ketika ini.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [ Bagan Serai ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan sehingga kini, berapa peratusan keberjayaan usahawan yang dilahirkan di kawasan desa bagi 5 tahun terakhir (2018-2022) memandangkan sektor keusahawanan atau PKS telah menyumbang hampir 40% kepada KDNK negara.

Datuk Muslimin bin Yahaya [ Sungai Besar ] minta Menteri Pendidikan menyatakan apa usaha dan strategi terkini KPM bagi memastikan isu kekurangan guru bagi 4 mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) telah dilaksanakan. Bila agaknya perkara ini mampu selesai sepenuhnya.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [ Hulu Selangor ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan secara terperinci apakah dasar peralihan keluar (exit policy) terutama penduduk di PPR yang menghadapi kekangan untuk beralih kepada perumahan swasta serta pilihan perumahan swasta yang terhad berdasarkan median umur isi rumah PPR.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan polisi kerajaan bagi tahun ini utk bangunkan perumahan mampu milik @ Rumah Prima @ Rumah Mesra Rakyat di kawasan luar bandar seperti di Gerik.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [ Ketereh ] minta Menteri Pendidikan menyatakan berapakah jumlah sekolah tahfiz yang berdaftar dengan Kementerian dan apakah perancangan Kementerian dalam memperkasakan pendidikan sekolah tahfiz.

Tuan Zakri bin Hassan [ Kangar ] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan usaha-usaha Kementerian dalam cadangan pembangunan dan menaiktaraf kawasan yang melibatkan aktiviti sukan lasak di Sungai Batu Pahat, Perlis.

Tuan Zakri bin Hassan [ Kangar ] minta Menteri Pendidikan menyatakan :-

(a) statistik terkini kemasukan pelajar dalam pendidikan pra-sekolah mengikut negeri dan usaha Kementerian untuk memastikan ekosistem pendidikan pra-sekolah yang lengkap termasuk dari segi sistem sokongan guru dan pelajar; dan

 (b) status terkini mengenai cadangan sistem pengesanan murid dari peringkat pra-sekolah hingga menengah atas seperti yang dinyatakan dalam perancangan Malaysia ke- 12 (RMKke-12).

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [ Kuala Kedah ] minta Menteri Pengangkutan menyatakan status terkini projek menaik taraf jeti Kuala Kedah untuk menampung peningkatan pelancong ke Langkawi.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [ Temerloh ] minta Menteri Kesihatan menyatakan :-

(a) pemberhentian urusan memandikan jenazah di hospital Kerajaan terutama Hospital Temerloh; dan

(b) cadangan dan solusi pihak Kerajaan dalam perkara ini terutamanya melibatkan jenazah kemalangan ngeri juga jenazah yang menjalani proses pembedahan dan bedah siasat.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [ Setiu ] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana perancangan Kerajaan bagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak dan tertutup seperti pengangkutan awam dan pusat beli belah bagi mengekang penularan subvarian baharu COVID-19.

Dr. Hajah Halimah Ali [ Kapar ] minta Menteri Pendidikan menyatakan:-

(a)  kos total pendidikan seorang pelajar dari tahun 1 hingga tahun 6; dan

(b) kos persekolahan seorang pelajar sekolah menengah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 (cost per pax).

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [ Gua Musang ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan apakah perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang ke atas tanah-tanah hak milik KESEDAR yang terbiar dan belum dibangunkan di Gua Musang.

Tuan Zulkifli bin Ismail [ Jasin ] minta Menteri Pendidikan menyatakan:-

(a) apakah implikasi konsep Malaysia Madani dalam sistem pendidikan negara; dan

(b) apakah akan ada pendekatan/strategi baharu yang akan dilaksanakan dalam arus pendidikan perdana yang akan menambah beban tugas guru sedia ada.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [ Tumpat ] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan bilangan kes kematian warga emas seorang diri yang dilaporkan di seluruh negara sejak 2020 dan apakah usaha serta tindakan yang telah diambil untuk mencegahnya daripada terus meningkat dalam masyarakat.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [ Gua Musang ] minta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini Hospital Daerah Gua Musang. Adakah telah memenuhi kriteria sebagai sebuah Hospital Pakar Minor dan berapa penambahan baru doktor pakar tetap serta penambahan kelengkapan perubatan.

Dr. Hajah Halimah Ali [ Kapar ] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan :-

(a) senarai KRT di seluruh kawasan Parlimen Kapar; dan

(b) senarai Tabika Perpaduan di Kapar untuk memupuk perpaduan dan mengintegrasikan masyarakat antara kaum sejak usia muda.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [ Jerantut ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan status projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Batu Balai di Jerantut di bawah program Bekalan Air Luar Bandar.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan melihat ke sesetengah daerah yang masih tidak mempunyai mini stadium balapan dan padang kerana ianya amat perlu bagi kegunaan sukan sekolah dan daerah disamping menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat baru olahraga daerah luar bandar seperti di Parlimen Gerik.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [ Gua Musang ] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang Kementerian dalam memastikan tiada lagi guru-guru menjalankan tugasan perkeranian di sekolah.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [ Kuala Krau ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan apakah yang dilakukan JAKOA bagi membantu meringankan kesempitan hidup masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang juga terkesan dengan kenaikan kos barangan asas di samping pengurangan sumber pendapatan akibat kemusnahan hutan.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [ Besut ] minta Menteri Kerja Raya menyatakan kenapa pembinaan Jalan Kampung Keruak ke Gua Musang melalui Gunong Bongsu yang pernah diluluskan pada Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) telah dibatalkan oleh Agensi Pusat pada tahun 2018.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [ Bagan Serai ] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan usaha pihak Kementerian terhadap cadangan untuk menyediakan taska di tempat kerja terutama agensi Kerajaan bagi memudahkan urusan para ibu bapa menguruskan anak-anak mereka.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [ Ketereh ] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah pihak Kementerian bercadang mengekalkan mata pelajaran tulisan jawi dalam buku teks sekolah di seluruh negara setelah tulisan jawi diabaikan akibat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang dikuatkuasakan pada tahun 1971.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [ Masjid Tanah ] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah pencapaian yang telah berjaya dicapai bagi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 akan berakhir pada 2 tahun lagi dan cabaran utama yang dihadapi bagi memenuhi kesemua sasaran tersebut.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [ Kuantan ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah langkah yang telah diambil oleh Kementerian termasuk kaedah untuk memanfaatkan lebihan makanan termasuk di bazar-bazar Ramadan, sekali gus mengelakkan pembaziran serta mengurangkan tabiat pembuangan sisa makanan.

Dato’ Rosol bin Wahid [ Hulu Terengganu ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah Kementerian dapat memberi jaminan harga rumah dapat diturunkan selepas inisiatif Harga Simen Rahmah diperkenalkan dan bilakah rakyat dijangka dapat merasai kesan penurunan harga simen ini.

Tuan Jamaludin bin Yahya [ Pasir Salak ] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan sejauh manakah tahap kebolehcapaian serta penyelenggaraan kemudahan dan prasarana sukan serta rekreasi di seluruh negara.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [ Kepala Batas ] minta Menteri Pendidikan menyatakan :-

(a) status dan dapatan kajian cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan kuarters kosong guru di seluruh negara yang dimaklumkan dijangka selesai pada akhir April 2023; dan

(b) apakah keputusan cadangan kajian bagi kuarters guru di Taman Seri Serdang, Kepala Batas.

Dr. Radzi Jidin [ Putrajaya ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan :-

(a) apakah langkah proaktif Kementerian untuk menangani isu- isu keselamatan dan keselesaan yang dihadapi oleh penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia(PPAM) termasuk fasiliti dan lif usang serta ruang parkir terhad seperti di Putrajaya; dan

(b) usaha Kementerian untuk meningkatkan kekerapan penyelenggaraan terutamanya lif yang rosak di PPR dan PPAM.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [ Maran ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah tindakan Kementerian terhadap isu pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) berhubung air terutama penggunaan meter pukal, dan sejauh manakah pelaksanaan migrasi Meter Pukal kepada Meter Individu telah berjaya diselesaikan.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [ Setiu ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan status terkini Akta Sewaan Kediaman atau Residential Tenancy Act (RTA) bagi mengawal harga rumah selain bagi menghalang pemilik kediaman menaikkan harga sewa atau mengusir para penyewa dengan sewenang-wenangnya.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [ Bukit Gantang ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada perkampungan Melayu bagi penyediaan kemudahan asas seperti jalan perhubungan desa, sistem perparitan, lampu jalan solar dan ameniti sosial dalam Parlimen Bukit Gantang sejurus selepas Belanjawan 2023 diluluskan.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [ Maran ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah rasional penamatan Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang telah diperkenalkan semenjak 2011, dan digantikan dengan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) mulai 1 April 2023.

Tuan Zulkifli bin Ismail [ Jasin ] minta Menteri Pendidikan menyatakan:-

(a) statistik Guru Pendidikan Khas mengikut bidang dari tahun 2018 hingga 2023 di seluruh negara; dan

(b) apakah perancangan KPM untuk menambah baik mutu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Khas di Malaysia.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [ Parit Buntar ] minta Menteri Pendidikan menyatakan perincian inti pati Malaysia Madani berhubung aspek Equitable Outcomes (Kesaksamaan Hasil) dan Equitable Opportunity (Kesaksamaan Peluang) terutama dalam mengurangkan jurang pendidikan berdasarkan kumpulan ekonomi.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [ Sik ] minta Menteri Pengangkutan menyatakan status kerjasama pembinaan jaringan pengangkutan di Pulau Pinang termasuklah kos perbelanjaan Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM10 bilion sekiranya projek tambakan laut bagi pembangunan tiga pulau buatan di Pulau Pinang diteruskan.

Tuan Jamaludin bin Yahya [ Pasir Salak ] minta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah bantuan kewangan yang telah disalurkan kepada sekolah-sekolah agama bantuan Kerajaan sepanjang 3 tahun yang lalu.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan status terkini projek Pembangunan Perumahan Rakyat (PPR) di daerah Mersing, Johor.

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [ Kuala Kangsar ] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan sejauh manakah pihak Kementerian telah memperhalusi cadangan memindahkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) ke Kementerian Sumber Manusia dan sejauh manakah pemindahan ini akan memberi kesan terhadap program pembangunan belia lain di bawah pihak Kementerian.

Tuan Rushdan bin Rusmi [ Padang Besar ] minta Menteri Kerja Raya menyatakan strategi Kerajaan Madani untuk menghapuskan tol di lebuh raya di Malaysia dan apakah usaha-usaha yang telah dijalankan ke arah menghapuskan tol.

Dewan Rakyat yang bersidang selama 11 hari bermula semalam hingga 25 Mei dan disambung pada 6 hingga 15 Jun.– HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -