Tidak berhasrat tubuh Suruhanjaya Patuh Syariah

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Patuh Syariah buat masa kini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

- Advertisement -

Ini, ujarnya kerana bidang kewangan Islam dan industri halal telah pun mempunyai tatakelola, undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Tatakelola dan undang-undang yang sedia ada ini sudah cukup dan memadai untuk menguruskan bidang-bidang ini dan ini terbukti apabila Malaysia muncul sebagai negara contoh dan rujukan dalam bidang kewangan Islam dan pengurusan halal,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Guru Zulkifli dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian Kerajaan Madani terhadap cadangan yang pernah dilontarkan dan diusahakan oleh kerajaan sebelum ini berkaitan penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah yang bukan sahaja memberi fokus kepada isu-isu Halal industri makanan tetapi juga terhadap isu muamalah, kewangan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, kata Mohd Na’im kerajaan menyedari bahawa usaha-usaha penambahbaikan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi tujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, tatakelola dan peraturan di bidang patuh syariah. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -