Beza Walaun dengan Walanon

- Advertisement -

WALAUN satu gelaran yang diberikan oleh musuh PAS kepada penyokong PAS yang sangat setia menerima, mendengar dan melaksanakan arahan pimpinan parti dalam semua keadaan. Walaun tidak terkena kepada penyokong BERSATU, GERAKAN ataupun mana-mana penyokong parti lain yang tidak menyokong PH. Gelaran ini timbul beberapa tahun lalu yang disebarkan oleh penyokong PH. Kesetiaan ini juga, tiada dalam parti lain.

Ia mengambil dari kata dasar walak, perkataan Arab yang menjelaskan satu bentuk perbuatan kesetiaan kepada pimpinan. Walak ini adalah teras dalam berjemaah dalam Islam. Maka dalam hukum hudud, bughah atau pemberontak, dihukum bunuh. Di mana-mana negara sekalipun, kesetiaan kepada pemerintah adalah wajib bagi semua rakyat. Setia bermaksud bukan menyetujui semua perkara sehingga yang haram juga kita persetujui. Setia di sini adalah bagi melindungi anasir luar daripada mencampuri urusan dalaman negara atau jemaah kita.

China, sebuah negara kafir, mengenakan hukuman mati kepada pembelot ataupun rakyatnya yang menentang dasar pemerintahannya. Medan Tiananmen menyaksikan peristiwa berdarah itu dengan pembunuhan kumpulan yang mahukan demokrasi sekitar akhir 80-an. Sesiapa yang menjadi ejen KGB, Russia walaupun mereka adalah rakyat Amerika atau ejen CIA hatta dia seorang Russia, akan dibunuh atau dihukum dengan hukuman yang sangat berat.

Berpaling tadah ialah satu bentuk perbuatan yang tidak boleh diterima oleh mana-mana pemerintahan di dunia semenjak dahulu sehingga hari ini. Melawan pemerintah hanya akan melemahkan negara itu. Tetapi bagaimana pula jika pemimpin itu zalim? Ya, kita tidak bersetuju dengan kezaliman pimpinan itu, kita dibenarkan menentang atas nama agama. Sehingga ada Hadis menyatakan jihad terbesar ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim. Tetapi jangan dibiarkan orang luar masuk campur dalam masalah kita. 

Sebab itu dalam empayar Islam, walaupun mereka tidak bersetuju sepenuhnya dengan pemerintah, baiah atau ikrar setia kepada khalifah adalah wajib dan kerja-kerja seperti perang, mencipta sesuatu, menyebarkan ilmu, tetap berjalan dengan arahan khalifah.

Sejarah juga telah banyak mengkhabarkan bahawa pemerintah kita dahulu, sering berhadapan dengan perang saudara kerana merebut kuasa ataupun tempat yang mengeluarkan hasil yang banyak. Dek kerana mahu menang, mereka mula mencari sokongan luar. Ketika itu British dilihat sebagai pemberi bantuan yang sangat berharga. Lalu dicagarkan apa yang dikehendaki British sehingga akhirnya mereka yang mengawal pemerintahan. Kita tinggal gigit jari, terpaksa memohon kemerdekaan dari mereka.

Melaka jatuh kerana pengkhianatan dari dalam. Rahsia pertahanan dibuka oleh bajingan kepada musuh yang mana pengkhianat itu sama warna kulit, bahasa dan asal dengan rakyat yang lain. Masjid ditukar kepada gereja yang kemudiannya menjadi tempat tarikan pelancong. Sehingga kini, tidak dapat dikesan keturunan Sultan Melaka untuk mewarisi kembali takhta mereka di Melaka.

Manakala ketaatan kepada pimpinan memberikan kekuatan kepada jemaah atau negara itu. Pemimpin tidak perlu menjelaskan semua perkara yang diputuskan di peringkat tertinggi. Ada rahsia yang tidak boleh diumumkan. Keputusan pimpinan adalah secara mesyuwarah dan melihat dari atas ke bawah atau sebaliknya. Tetapi kritikan orang bawahan adalah hanya sekadar dalam lingkungan fikiran dia sahaja. Sebab itu, jika ada peraturan negara yang dibuat mengikut sesuatu ijtihad, ijtihad yang lain jangan diguna sebab nanti bercelaru. Kecuali dia beramal sendiri atas ilmunya.

PAS amat bertuah mempunyai ahli yang walak kepada arahan parti. Walaupun pernah pada suatu ketika, mereka terpaksa mengangkat bendera DAP, PKR malah juga Umno, tetaplah mereka tidak berganjak daripada ketaatan itu. Hasil dari kesetiaan  dan kepercayaan terhadap keputusan pimpinan ini, PAS kekal relevan dalam arus politik Malaysia malah fungsi mereka sebagai jemaah Islam lebih signifikan sekarang berbanding dahulu kerana sudah banyak kemenangan yang diperolehi hasil mengikut ijtihad pimpinan.

Pimpinan PAS bertukar ganti, ada yang keluar parti, ada yang menjadi musuh, ada yang mati, ada yang bersara. Semua mereka itu tidak boleh memesongkan ahli PAS kerana ahli PAS mengikut ajaran Islam. Islam tidak akan mati. Pimpinan hanyalah menunjuk jalan kepada yang benar. Mereka mungkin boleh berubah dan mungkin juga istiqamah. Maka walak itu adalah kerana keputusan pimpinan PAS dibuat berdasarkan Islam. 

PAS sudah membuktikan yang pimpinan PAS datang dan pergi, hidup dan mati. Manakala Islam yang dipegang oleh PAS, tetap hidup. Walaun PAS sudah teruji dengan terus berjuang atas nama Islam dan mencapai kejayaan demi kejayaan dengan berbagai corak kepimpinan. Walaun PAS hebat. Sebab itu walaun PAS diserang kerana jika hilang walak, maka runtuhlah kepimpinan. Apakah musuh PAS tiada walaknya kepada pimpinan mereka? Ada, malah sangat kuat walaknya. Cuma bezanya ialah atas dasar Islam atau bukan walaknya itu.

Hanya satu soalan kepada ‘Walanon’ iaitu gelaran kepada penyokong yang walak tidak terperi kepada Anwar atau Bang Non. Jika Anwar mati, sokongan kamu ke mana? Rafizi atau Saifuddin? Ataupun Lim Guan Eng serta Zahid Hamidi? Jika kamu mendakwa kamu menyokong Islam, kebenaran atau keadilan, kamu berbohong kerana kesemua kemuliaan itu, sudah tiada dalam kumpulan kamu sekarang.

Jangan lupa pengakuan dari mendiang Profesor Dr Khoo Kay Kim yang mengatakan bahawa ahli dan penyokong PASlah yang terbaik berbanding semua parti lain

MOHD NASIR ABDULLAH
9 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 9/5/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -