Kelantan mohon Kerajaan Pusat kawal permit import

Tuan Mohd Saripudin mengagihkan duit raya kepada pengunjung kanak-kanak sempena majlis Gema Aidilfitri PAS Dewan Undangan Negeri Selising di Padang Awam Selising, Pasir Puteh, Kelantan pada 24 April 2023.
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kelantan memohon kerajaan pusat mengawal pengeluaran permit import (AP) pertanian bagi memastikan lambakan hasil pertanian dalam negara tidak berulang.

Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, jika usaha tersebut tidak dilakukan dijangka lebih ramai petani dan pekebun terjejas.

- Advertisement -

Beliau yakin kerajaan mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan masalah tersebut, memandangkan masalah sama pernah berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu.

“Kita minta kerajaan pusat melalui kementerian-kementerian terbabit supaya mengenalpasti punca lambakan ini supaya tidak menjejaskan sektor pertanian tempatan.

“Salah satu usaha yang boleh dilakukan agar AP import ini yang dibuat oleh beberapa kementerian, dapat buat kawalan ini, negeri tiada kuasa sekat benda ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Gema Aidilfitri PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising yang diadakan di Padang Awam Selising malam tadi di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Dato’ Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Ustaz Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.

Menurut Tuan Mohd Saripudin lagi, masalah lambakan hasil pertanian tempatan seperti tomato, kubis, timun batang dan sebagainya dari tanah tinggi Lojing dan Cameron Highland kembali berlaku.

“Hal itu kerana kemasukan hasil pertanian import khususnya dari Thailand dan China yang keterlaluan menjejaskan hasil pengeluaran dan pendapatan petani tempatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2023

- Advertisement -