Solat sunat istisqa pagi Jumaat ini

Tuan Mohd Saripudin (dua dari kanan) dan Nik Muhammad Zawawi (tengah) dalam majlis Gema Aidilfitri PAS Dewan Undangan Negeri Selising di Padang Awam Selising, Pasir Puteh, Kelantan pada 24 April 2023.
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar akan menganjurkan solat sunat istisqa pagi Jumaat (28 Apr) ini di Padang Awam Selising bagi memenuhi sebahagian tuntutan agama.

Pengerusinya, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah itu dilakukan memandangkan sebahagian besar negeri Kelantan tidak menerima hujan sehingga menyebabkan sektor pertanian terjejas.

- Advertisement -

Oleh itu katanya, golongan penternak, petani dan pesawah diharap dapat menyertai majlis tersebut bagi memohon ke hadrat Ilahi supaya diturunkan hujan. 

“Ia dianjur Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising dan kita utamakan kepada pesawah dan petani kerana memerlukan air bagi mengairi tanaman yang diusahakan.

“Kita harap mereka boleh pakat mari ke majlis tersebut dan kita bersama memohon kepada Allah agar menurunkan hujan,”  katanya ketika ditemui selepas majlis Gema Aidilfitri PAS Dun Selising yang diadakan di Padang Awam Selising malam tadi.

Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.

Tuan Mohd Saipudin yang juga ADUN Selising berkata, kerajaan negeri sentiasa bersama agensi kerajaan untuk mengatasi masalah air di kawasan yang terlibat dengan aktiviti pertanian. 

Agensi terbabit menurutnya lagi, adalah termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), dan Jabatan Pertanian untuk menyedut air sungai ke tali air bagi menyediakan bekalan air yang mencukupi.

“Kita menyediakan beberapa pam air bergerak yang besar dan kecil untuk membantu petani. Pam kecil digunakan untuk sedut air dari tali air ke sawah padi, yang besar kita gunakan untuk ambil air dari sungai sedut masuk dalam tali air,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2023

- Advertisement -