Gempa kuat, amaran tsunami di Indonesia: Penduduk panik

Gempa bumi kuat dikesan di dasar laut berukuran 7.3 magnitud berpusat kira-kira 177 kilometer di barat laut Pulau Mentawai di Sumatera Barat, Indonesia pada awal pagi hari ini, 25 April 2023. (FOTO: BMKG Indonesia)
- Advertisement -

PADANG: Gempa bumi kuat di dasar laut berukuran 7.3 magnitud pada skala Ritcher telah menyebabkan orang ramai panik dan melarikan diri ke kawasan lebih tinggi di barat Indonesia, selepas amaran tsunami diaktifkan seketika.

Rakaman yang dikeluarkan oleh Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia menunjukkan orang ramai di sebuah kampung di Pulau Mentawai bertempiaran melarikan diri ke tanah tinggi dengan berjalan kaki dan motosikal dibasahi  hujan dalam kegelapan pada  awal pagi hari ini, Selasa (25 Apr), manakala beberapa pesakit di bangunan hospital kampung itu yang mengalami keretakan segera dipindahkan ke pekarangannya, lapor The Guardian.

- Advertisement -

Gegaran itu dirasai di daerah dan bandar di Sumatera Barat dan wilayah Sumatera Utara, dan beberapa tempat mengarahkan pemindahan ke tempat yang lebih tinggi.

Jurucakap agensi bencana, Abdul Muhari berkata, penduduk di bahagian wilayah Sumatera Barat, termasuk ibu kota wilayah Padang, merasakan gempa bumi dengan kuat selama kira-kira 30 saat.

Selepas amaran tsunami awal, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia yang kemudian mengeluarkan kenyataan terkini bahawa gempa yang tercetus pada jam 3.57 pagi pada hari ini (25 Apr waktu Jakarta) berpusat kira-kira 177 kilometer di barat laut Pulau Mentawai di Sumatera Barat pada kedalaman 83km, dilaporkan telah menarik balik amaran tersebut sejurus sebelum subuh, kira-kira dua jam selepas gempa bumi itu.

“Ramai penduduk di beberapa kampung di Pulau Mentawai memilih untuk tinggal (selepas melarikan diri dari kediaman masing-masing)… di kawasan yang lebih tinggi walaupun amaran tsunami telah ditamatkan, kerana bimbang akan berlaku gegaran susulan,” katanya sambil menambah bahawa pihak berkuasa masih mengumpul maklumat mengenai kerosakan impak gempa bumi itu.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, berdasarkan pemerhatian paras laut, tsunami kecil setinggi 11 sentimeter dikesan di kawasan pantai Tanah Bala di Kabupaten Nias Selatan.

Indonesia merupakan sebuah kepulauan yang luas dengan populasi penduduk mencecah 270 juta orang sering dilanda gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami. 

Pada November tahun lepas, gempa bumi berukuran 5.6 magnitud meragut sekurang-kurangnya 340 nyawa dan merosakkan lebih 62,600 rumah di beberapa bahagian di Jawa Barat. – HARAKAHDAILY 25/4/2023

- Advertisement -