Sistem Pengurusan Komunikasi LCS perlu dinaik taraf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hanya Sistem Pengurusan Komunikasi (CMS) Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang menjadi kontroversi kerana gagal disiapkan pada waktu ditetapkan perlu dinaik taraf.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan mengakui keperluan menaik taraf, ubah suai dan menambah nilai CMS.

- Advertisement -

Katanya, ini berikutan CMS yang dibeli lebih awal sebelum ini kini menjadi sistem yang lama dan perlu ditambah baik

Selain itu, katanya kerajaan menukar jenis peluru berpandu yang hendak digunakan dengan mengambil dari Norway, namun beliau enggan memperincikan peluru berkenaan demi kerahsiaan pertahanan negara.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kelewatan pembinaan LCS tidak akan menjejaskan keupayaan kapal itu, terutama enjin dan peralatan lain yang dibeli lebih awal.

“Enjin diesel LCS yang diperoleh daripada MTU Services dari Jerman sentiasa diuji dan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah.

“Enjin tiada masalah, kita guna yang sama. Begitu juga kotak gear dan baling-baling yang akan tentukan kelajuan dan macam mana kapal ini dioperasikan nanti, syaf juga (kita guna) yang sama,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Mohamad menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berhubung siasatan dan pendakwaan berkaitan pembinaan LCS.

“Ada syarikat yang kita nak lupuskan daripada menjadi orang tengah dan persetujuan untuk ini telah kita capai. Cuma ada satu kaveat yang kita tidak mahu, iaitu mereka minta dikecualikan daripada apa jua sebarang tindakan pada masa akan datang.

“Kami tidak mahu berkompromi dalam hal itu. Sebab apa, bagi kami di Kementerian Pertahanan, terpulang kepada agensi yang menyiasat…dan agensi pendakwaan itu bukan dalam ruang lingkup kementerian. Jadi siapa sahaja yang akan disiasat terpulang kepada mereka” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Penyelesaian Sejagat untuk menyelesaikan isu berkaitan orang tengah berkenaan. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -