Dasar Kanak-Kanak Fikrah lindungi kanak-kanak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak menjadi fokus utama kerajaan Kelantan yang mempunyai Dasar Kanak-kanak Fitrah (DKF) yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan perlindungan kanak-kanak.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, kanak-kanak dilihat sebagai amat penting dalam pembinaan generasi akan datang.

- Advertisement -

Katanya, kanak-kanak juga memerlukan perhatian istimewa untuk menjaga kemaslahatan dan memberi perlindungan kepada mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan kerajaan, sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dapat mengekang jenayah seksual yang makin menular secara tersembunyi dalam kalangan anak muda di negara ini atau aktiviti sisi gelap melalui platform media sosial seperti Facebook dan Twitter.

“Adakah kementerian bercadang meningkatkan kolaborasi merentas kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mewujudkan program advokasi pencegahan dan intervensi seperti kempen dan hebahan video?” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan RUU Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Dr Wan Martina berkata, program advokasi bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat, terutama yang membabitkan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

“Bagaimanakah kerajaan akan memastikan keberkesanan pindaan akta ini selaras dengan penubuhan pasukan khas di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman D11 untuk membanteras aktiviti pornografi dalam kalangan kanak-kanak seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023?” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -