Isu NUBE: Steven Sim digesa bertindak adil – PEDULI

- Advertisement -

AYER KEROH: Pengerusi Pertubuhan Buruh Wanita Malaysia (PEDULI), Kintan Man mengucapkan syabas kepada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) yang tegas dan berani mempertahankan hak-hak ahlinya.

- Advertisement -

Katanya, sebagai pertubuhan yang memperjuangkan hak pekerja khususnya dalam kategori B40, PEDULI berasa terpanggil untuk memberi maklum balas terhadap isu berkaitan pekerja bank tersebut.

Beberapa cawangan NUBE telah membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim atas isu pembayaran bantuan perayaan oleh majikan mereka yang diwakili Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA).

NUBE dalam laporan polis itu mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa di mana Sim secara rahsia berbincang tanpa pengetahuan Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE berkenaan dengan pembayaran Bantuan Perayaan untuk tahun ini.

Tindakan Sim, menurut NUBE, bertentangan dengan Memorandum Persetujuan (MoA) ditandatangani kesatuan sekerja itu bersama MCBA pada 5 April tahun lepas yang menetapkan bank membayar gaji sebulan sebagai bantuan perayaan kepada ahli-ahlinya.

Jelas Kintan, tindakan Sim yang dilihat cenderung melindungi majikan seperti yang didedahkan NUBE adalah satu sikap ‘double standard’ dan dilihat amat tidak adil serta menidakkan hak para pekerja.

“Lebih-lebih lagi pekerja sekarang dihimpit dengan kenaikan harga barang keperluan asas, ditambah lagi dengan penurunan nilai Ringgit,” ujarnya.

Tambah Kintan, isu itu adalah hal besar di mana NUBE menuntut hak di atas MoA telah dipersetujui bersama majikan bank yang diwakili oleh MCBA.

“Memorandum Persetujuan tersebut menetapkan bahawa pihak majikan perlu membayar sebulan gaji kepada pekerja bank sebagai saguhati perayaan.

“YB Steven Sim pula tampil memihak kepada majikan dengan hanya membayar separuh gaji. Perkara ini amat bertentangan dengan perjanjian yang telah dimeterai bersama,” ujarnya.

Beliau turut menempelak Menteri Sumber Manusia itu di mana dilihat mengambil sikap bertentangan dalam menangani isu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang dimiliki PAS.

“Ironinya, dalam isu ini YB Menteri Sumber Manusia tersebut memihak kepada majikan berbanding dengan isu guru-guru PASTI sebagai sukarelawan di bawah Dewan Pemuda PAS,” ujarnya.

Katanya, PEDULI menyeru Menteri Sumber Manusia supaya berlaku adil dengan memenuhi syarat perjanjian yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.

“Pekerja adalah entiti terbesar Rakyat Malaysia yang menjadi modal insan dalam memastikan pembangunan negara berjalan lancar dan harmoni. Hak pekerja mestilah dihormati bagi menjamin kestabilan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -