Hukuman berat gerunkan penjenayah seksual kanak-kanak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengenakan hukuman denda, penjara dan pampasan yang berat terhadap penjenayah yang disabitkan kesalahan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Senator Mohd Apandi Mohamad berkata, jenayah seksual kepada kanak-kanak hari ini semakin meluas akibat pelbagai faktor.

- Advertisement -

“Jenayah seksual membabitkan kanak-kanak dipengaruhi pelbagai elemen, sama ada YouTube, filem dan persekitaran yang menyebabkan banyak berlaku perkara yang dulu kita kurang dengar, tetapi sekarang lambakan berlaku dalam masyarakat.

“Kecenderungan manusia untuk melakukan perkara jahat lebih dari perkara baik, itu naluri dia. Namun dari segi persekitaran, kalau kita mengenakan undang-undang yang ketat, pengawasan dengan baik, insya-Allah ia dapat dikurangkan.

“Untuk menghapuskan, mungkin satu perkara yang amat mustahil kerana ini isu sejagat, ia bukan hanya berlaku di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Mohd Apandi berkata, jenayah seksual terhadap kanak-kanak lebih teruk berlaku di luar negara dengan golongan berpengaruh dan kaya mengambil kesempatan.

“Apabila manusia terlibat dengan maksiat, dia bukan berpuas hati dengan sempadan maksiat setakat itu, dia ada ciptaan baharu lagi untuk menggambarkan kehebatannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan lebih serius menangani isu ini kerana ia menjadi mimpi buruk masyarakat, terutama kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -