Kamera badan: Kerajaan lulus peruntukan RM30 juta

Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk perolehan kamera badan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2021 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi kegunaan penugasan harian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

- Advertisement -

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), kamera badan itu akan digunakan oleh anggota PDRM yang bertugas di lapangan terutama bagi Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal Polis (URB) serta rondaan jalanan polis di 157 buah Ibu pejabat polis daerah (IPD) seluruh negara.

Katanya, sejumlah 7,648 unit kamera badan dirancang untuk diperolehi dengan anggaran harga di antara RM2,000 hingga RM2,500 seunit.

Demikian jawapan bertulis KDN kepada soalan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai di Dewan Negara, semalam.

Dominic Lau dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bilakah (termasuk status) pihak polis akan mula menggunakan kamera badan bagi kegunaan anggota Unit Rondaan Bermotosikal dan kenderaan pelbagai guna.

Beliau juga ingin tahu adakah terdapat sebarang langkah dalam memastikan setiap bilik siasatan, lokap dan premis PDRM yang berurusan dengan orang ramai dan orang yang disyaki dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Menjelaskan perkara itu, KDN berkata secara keseluruhannya, semua lokap PDRM telah dilengkapi dengan kemudahan CCTV melalui kaedah pembangunan baharu IPD dan balai polis, kontrak sewaan CCTV lokap berpusat dan kontrak sewaan 5 zon    (Utara,  Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak).

Tambahnya, perancangan hadapan PDRM untuk memasang CCTV keselamatan yang merangkumi perimeter, stor barang kes, stor senjata api, pejabat inkuiri, bilik soal siasat dan lain-lain kawasan sensitif telah dipohon melalui RMK12 RP3 dan RMK12 RP4. – HARAKAHDAILY 5/4/2023

- Advertisement -