Taikun perlu bantu hapuskan miskin tegar

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pihak di negara ini perlu menyambut baik hasrat kerajaan untuk menghapuskan 130,000 miskin tegar, termasuk golongan taikun.

Senator Hussin Ismail berkata, jika kerajaan tidak campur tangan dan kenaikan harga barang terus berlaku menyebabkan lebih ramai rakyat mendapat status kemiskinan tegar.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya usaha menghapuskan belenggu kemiskinan hanya membabitkan segelintir tokoh perniagaan meskipun negara mempunyai ramai individu yang berjaya.

“Disebut (Tan Sri) Syed Mokhtar Al Bukhary mengenai sumbangannya kepada pesawah padi, kenapa tidak sebut yang lain. Apakah mungkin mereka mampu bersama-sama menurunkan harga barangan.

“Saya bukan sebut untuk pertikai mahu pun perlekeh kerana sangat memahami bahawa peranan taikun-taikun dalam membangunkan negara, kena ada keseimbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, turut menyuarakan isu yang sama kerana Kelantan merupakan antara negeri yang miskin di Malaysia.

Sebagai sebuah negeri pembangkang, katanya adakah penduduk di Kelantan dapat menikmati Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan dana RM750 juta.

“Saya ingin tanya berapa ramai atau peratus miskin tegar yang berada di kelantan dan mekanisme yang digunakan untuk memilih dan mengagihkan peruntukan ini.

“Adakah semua miskin tegar ini akan menerima peruntukan di bawah IPR, bagaimana kerajaan memantau mereka untuk pastikan mereka keluar dari kemiskinan tercapai,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -