Shahidan persoal MB Kedah dihalang hadiri LIMA ’23

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Halangan terhadap Menteri Besar Kedah menghadiri sebarang program anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di Langkawi dibangkit di Dewan Rakyat, hari ini.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dengan mengemukakan Peraturan Dewan selepas sesi soal jawab.

- Advertisement -

Katanya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan program tersebut dijadualkan akan diadakan di Langkawi, Kedah, Mei hadapan.

“Oleh itu, saya membangkitkan perkara tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan perlu disegerakan,” katanya bangun membangkitkan Peraturan Dewan.

Bagaimanapun, Speaker Datuk Johari Abdul, meminta Shahidan mengemukakan usul tersebut secara bertulis bagi membolehkan beliau membuat pertimbangan.

Katanya, sehingga sekarang beliau belum lagi menerima usul tersebut daripada Arau.

“Saya mengangap berita mengenainya belum pasti hitam putih kerana sekadar dilapor media,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendedahkan beliau dihalang menghadiri program LIMA `23 di Langkawi.

Selain itu, katanya kebenaran mengadakan program Iftar Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan bersama Menteri Besar yang dijadualkan pada 9 April ini di Dewan A, MAEPS Serdang, ditarik balik oleh pihak tertentu.

Sedangkan menurutnya sebelum itu kelulusan penggunaan dewan tersebut sudah diberi kepada kerajaan Kedah. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -