ALOR SETAR: Program Iftar Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan bersama Menteri Besar (MB) yang dijadualkan pada 9 April ini di Dewan A, MAEPS Serdang ditarik balik pihak berkenaan.
Sedangkan sebelum itu kelulusan penggunaan dewan tersebut sudah diberi kepada kerajaan Kedah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu sangat menghairankan memandangkan sewaan akan dibayar kerajaan negeri.
Malah katanya majlis berkenaan hanyalah sekadar berbuka puasa sahaja.
“Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun. Awat laa jadi sampai lagu tuuu. Tak apa, tak gaduh kalut-kalut kelam kelibut.
“Program akan diteruskan seperti dirancang. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera. Mungkin di Kuala Lumpur juga,” katanya pada hantaran di laman sosialnya hari ini.
Oleh itu Menteri Besar mengajak anak-anak Kedah di perantauan khususnya sekitar Lembah Klang hadir beramai-ramai memeriahkan majlis tersebut yang akan dimaklumkan lokasinya dalam tempoh terdekat.
Beliau turut menganggap tindakan pihak terbabit dianggap tidak profesional, sedangkan Kedah antara negeri yang menyumbang bekalan beras negara sehingga 43 peratus.
Manakala dalam perkembangan serupa Menteri Besar Kedah turut tidak dibenarkan menghadiri sebarang program anjuran kerajaan persekutuan termasuk LIMA yang akan berlangsung di Langkawi Mei ini.
Tindakan kerajaan Malaysia Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu dianggap tidak profesional kerana mendikriminasi pemimpin kerajaan negeri yang berbeza fahaman politik. – HARAKAHDAILY 30/3/2023