Selenggara parit dan sungai sebelum banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, disaran membuat bancian lebih awal untuk mengenal pasti lokasi yang mudah dilanda banjir akibat saliran air tersumbat.

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, beberapa lokasi yang dilanda banjir berlaku hanya disebabkan air melimpah dari sungai atau parit yang tidak dibersihkan sebelum berlaku banjir, selain sistem perparitan yang kurang sempurna.

- Advertisement -

“Selain itu, peruntukan yang mencukupi perlu disediakan untuk kerja-kerja pembersihan dan lain-lain yang perlu dibuat sebelum musim banjir datang.

“Apa yang banyak berlaku sekarang, kerja-kerja pembersihan dibuat semasa banjir melanda dan ada yang tak dapat dibuat akibat tiada peruntukan dengan alasan sudah berakhir hujung tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perbahasan peringkat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Shaharizukirnain, isu banjir termenung juga perlu diambil perhatian serius oleh kementerian memandangkan ia berisiko menyebabkan penduduk terputus hubungan.

Katanya, kerja-kerja meluruskan dan membesarkan sungai perlu disegerakan untuk mengelakkan air termenung ketika banjir.

Menurutnya, terdapat empat tempat air termenung di Setiu, iaitu di Jalan Sungai Tong ke Pelong di Kampung Mak Bakas, jalan ke Masjid Pengkalan Merbau, Jalan Chalok Kedai ke Lubuk Panjang dan Jalan Kampung Bukit Langkap. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -