Tiada pampasan petani, nelayan terjejas pencemaran babi

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyatakan terdapat 375 ladang babi berlesen dan 125 buah tidak berlesen dengan jumlah kapasiti ladang sebanyak 852,780 ekor standing pig population (SPP).

- Advertisement -

Menurut KPKM, dari tahun 2021 sehingga Februari 2023, sebanyak 126 kes melibatkan penternakan babi dikenakan kompaun kerana kesalahan di bawah enakmen/ordinan negeri dengan jumlah kompaun sebanyak RM162,550.

“Setakat ini KPKM tidak memberi pampasan kepada petani dan nelayan yang terjejas akibat pencemaran,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan [PN-Tasek Gelugor] di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Saifulruddin meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan mengikut kawasan Parlimen dan DUN seluruh Malaysia senarai penternak babi berlesen dan tidak berlesen dan anggaran kapasiti serta hasil setiap satu.

Beliau juga meminta senarai kompaun dan tindakan undang-undang yang telah diambil dengan menyenaraikan penternak mana yang mematuhi dan tidak mematuhi tindakan yang dikenakan serta apakah rancangan kerajaan untuk memastikan mereka yang terkesan oleh pencemaran dari ladang- ladang tersebut mendapat pampasan, khususnya pesawah dan nelayan darat di Parlimen Tasek Gelugor. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -