Lelaki guna nama `PMO’ ugut Wee Ka Siong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas menerima surat saman kerana isu telur import dari India, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mendakwa menerima ugutan daripada seorang lelaki kerana isu yang sama.

Presiden MCA berkata, lelaki terbabit menelefonnya semalam dan mendakwa telah berbincang dengan ‘Pejabat Perdana Menteri’ (PMO).

- Advertisement -

Menurutnya, lelaki terbabit mendesak supaya membetulkan kenyataan yang dibuatnya di Dewan Rakyat mengenai isu import telur dari India.

Katanya, panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya mewakili sebuah syarikat dan memberitahu telah berbincang dengan PMO untuk menandatangani suatu kenyataan dan akan selesaikan di luar mahkamah.

“Saya kata apa ini? Apa yang berlaku ialah, saya kata, saya tak sebut nama syarikat kamu, saya tak sebut nama kamu.

“Dia kata you (kamu) kena buat satu statement (kenyataan) untuk membetulkan apa yang dibuat di Parlimen. Saya kata, saya tak sebut nama you, nama syarikat. Saya cuma jadi jurucakap rakyat. Ini masalah bekalan telur,” kata Ka Siong ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Mantan Menteri Pengangkutan berkata, tindakan lelaki terbabit memperlekehkan institusi Parlimen dan menyalah guna nama PMO.

“Yang Dipertua, saya rasa dalam kes ini kita memandang berat. Apa nama PMO ini? Saya pun tidak faham apa yang berlaku.

“Pada 22 Januari, hari pertama Tahun Baru Cina, Perdana Menteri datang ke rumah terbuka. Saya bincang secara khusus telur yang diimport dari India. Saya tidak setuju. PM dengar. Saya kata, kita kena cari penyelesaian.

“Saya rasa ini bukan arahan daripada PM. Ini orang pakai nama PMO. Ini satu penyakit. Dalam kes ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dalam satu surat kepada Ka Siong, semalam, menyatakan sebarang ucapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat adalah terlindung mengikut Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -