PM jamin DKKP dibayar seperti biasa – MB

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada Terengganu akan diteruskan sebagaimana kebiasaan.

- Advertisement -

Jelasnya, keputusan itu diperoleh selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya semalam. (Foto atas)

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, beliau menyifatkan ia berlangsung positif dengan beberapa isu berkaitan rakyat dan negeri diketengahkan.

“Sebagaimana saya maklumkan dalam Facebook dan Instagram bahawa perbincangan ceria dan penuh keterbukaan.

“Berkenaan royalti (dikenali sebagai DKKP), ada juga dibincangkan dan akan diberikan sebagaimana biasa sebelum ini.

“Berapa banyak? Itu bergantung kepada harga minyak tahun sebelum ini, kita juga tidak tahu jumlahnya sekarang ini.

“Saya jangka mungkin sebelum akhir bulan ini duit itu akan masuk ke negeri Terengganu, dan kita akan tahu banyak atau sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, hari ini.

Beliau menambah bahawa dijangka nilai yang diterima mungkin agak banyak berikutan harga minyak yang tinggi tahun lalu.

“Peratusannya tidak dimaklumkan, cuma dikatakan sebagaimana sebelum ini. Insya-Allah, akan ada beberapa keputusan penting yang akan dilaksanakan YAB Perdana Menteri.

“Tunggulah, antara agendanya berkaitan pembangunan, kewangan dan semua itu dalam keadaan terbaik setakat ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah atas pelantikan aktivis kemanusiaan, Hussin Ismail sebagai Senator Dewan Negara hari ini.

“Beliau seorang yang mempunyai pengalaman yang lama dalam pentadbiran dan politik serta mempunyai kelayakan untuk membawa agenda ke dewan negara,” katanya. – TRDI.my

- Advertisement -