Hutang Kerajaan Persekutuan RM1,079.6 bilion

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,079.6 bilion atau 60.4 peratus kepada KDNK sehingga akhir 2022.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Kewangan, daripada jumlah itu, hutang dalam negeri sebanyak RM1,050.1 bilion manakala pinjaman luar pesisir RM29.5 bilion.

Demikian jawapan bertulis kementerian itu kepada soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [PN-Beluran] di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr. Ronald dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan berapa hutang terkini Kerajaan Persekutuan dan nyatakan langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk mengurus hutang secara berkesan.

Menurut kementerian itu lagi, dalam memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan terkawal dan terurus, beberapa langkah kawalan berikut perlu dipatuhi dalam usaha menyelesaikan peningkatan paras hutang.

Katanya, meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur bagi memastikan pinjaman baharu adalah lebih rendah berbanding semasa pandemik tanpa menjejaskan pemulihan ekonomi negara.

Di samping, ujarnya meningkatkan kecekapan perbelanjaan, mengawal dan memastikan peruntukan dibelanjakan dengan berkesan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran.

Kerajaan juga, katanya perlu melaksanakan kajian semula perbelanjaan awam (public expenditure review) termasuk langkah rasionalisasi dan keutamaan perbelanjaan.

Selain itu, memastikan perbelanjaan mengurus sentiasa dibiayai melalui hasil negara dan sebahagian daripada hasil dapat menampung sebahagian perbelanjaan pembangunan, memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan di mana kerajaan perlu mempunyai lebihan baki semasa dan tidak meminjam untuk perbelanjaan operasi dan memastikan bayaran khidmat hutang (debt service charges) terkawal dan tidak melebihi 15 peratus daripada hasil.

Kata kementerian itu lagi, juga memastikan pinjaman kerajaan adalah semata-mata untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang ditumpukan kepada projek berimpak tinggi seterusnya memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang, mengutamakan pinjaman domestik dengan mengambil kira mudah tunai yang tinggi dan kos pinjaman yang lebih murah serta tidak terdedah kepada risiko tukaran wang asing dan mengukuhkan rangka kerja institusi dan perundangan dengan melaksanakan langkah pembaharuan fiskal termasuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act).

“Akta yang dijangka akan dibentangkan pada tahun ini mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiscal,” katanya.

Di samping itu, ujarnya langkah kawalan dan pengurangan hutang serta konsolidasi fiskal perlu disokong dengan pelaksanaan strategi hasil jangka sederhana.

“Strategi ini meliputi penambahbaikan sistem percukaian sedia ada, memperluas asas hasil, meneroka potensi hasil daripada sektor tidak formal dan memberi fokus kepada insentif cukai yang lebih bersasar.

“Kesemua usaha dan langkah ini mampu memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan, membina semula ruang fiskal dan seterusnya mengurangkan hutang negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -