BAKKAH anjur majlis pra-Ramadan Harakah 2023

Sekitar majlis sambutan pra-Ramadan anjuran BAKKAH di pejabat Harakah, Kuala Lumpur pada hari ini, 15 Mac 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/J Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak lama lagi bermula pada 23  Mac (hari ini) bersamaan 23 Syaaban, umat Islam khususnya di Malaysia bakal menyambut bulan mulia Ramadan pada tahun ini.

Sehubungan itu pada hari ini, khusus bagi meraikan kakitangan, Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) telah mengadakan majlis sambutan pra-Ramadan.

- Advertisement -

Hadir menyempurnakan majlis ialah tetamu VIP, Ketua Pegawai Operasi (COO) Harakah, Ustaz Kamal Ashaari.

Sehubungan itu, beliau telah menyampaikan tazkirah mengenai kelebihan bulan Ramadan dan persediaan yang perlu dilakukan umat Islam sebelum menyambut bulan yang penuh dengan kemuliaan ini.

Ustaz Kamal berkongsi mengenai kelebihan Ramadan dan persediaan untuk menyambut bulan yang penuh kemuliaan ini.

“Ramadan  merupakan satu-satunya bulan yang Allah sebut dalam al-Quran dan mempunyai kelebihan yang tidak ada dalam  bulan-bulan yang lain. 

“Apabila kita ingin menyambut bulan Ramadan, kita mesti mempunyai persediaan ilmu kerana rugi sangat bila datangnya bulan ini tetapi kita tidak ambil kebaikannya,” kongsi beliau.

Menurutnya, dalam bulan Ramadan ini jangan hanya melihat kepada rakaat solat Tarawih tetapi renungkan apakan kelebihan yang ada bulan yang mulia ini yang tiada pada bulan-bulan lainnya. 

“Begitu juga dengan sahur, jangan hanya  melihat kepada makan dan makanan semata-mata tetapi lihat kepada keberkatan. Bila kita mendapat berkat, walaupun mendapat sedikit tetap akan merasakan kecukupan,” ujar beliau lagi.

Usai tazkirah, semua yang hadir menjamu selera dengan juadah serba ringkas yang disediakan khusus untuk majlis ini antaranya nasi tomato, ayam masak merah, sate, kuih-muih dan buah-buahan.

Majlis anjuran BAKKAH ini berjaya merapatkan hubungan ukhwah kekeluargaan dalam kalangan pekerja Harakah.

Melalui majlis ini, di samping menikmati juadah yang disediakan, staf Harakah juga mendapat pengisian ilmu pengetahuan yang amat bermanfaat mengenai keberkatan bulan Ramadan, selain dapat merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Secara tidak langsung, majlis sebegini menjadikan suasana bekerja di Harakah lebih bersifat  kekeluargaan. 

Semoga majlis ini dan majlis-majlis seterusnya yang bakal diadakan pada masa hadapan diberkati Allah SWT, agar ia berterusan mampu merapatkan ukhwah kakitangan Harakah agar kekal utuh. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -