MAIWP anjur program bual bicara niaga usahawan asnaf

MAIWP julung-julung kali mengadakan program bual bicara niaga khusus untuk usahawan dari golongan asnaf di Kuala Lumpur pada hari ini, 15 Mac 2023 (FOTO: MAIWP)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) buat julung-julung  kalinya telah mengadakan Program Bicara Niaga Agensi @ Usahawan MAIWP melibatkan golongan asnaf atau penerima bantuan zakat MAIWP khususnya yang tinggal di Wilayah Persekutuan.

Ahli Lembaga Pengarah MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, program yang diadakan pada hari ini di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertujuan untuk menghimpunkan seramai 300 orang usahawan MAIWP yang sedang bergiat aktif dalam pelbagai bidang perniagaan.

- Advertisement -

Tambah beliau, sebahagian dari usahawan yang hadir pada hari ini juga terdiri daripada usahawan-usahawan yang telah mencapai hasil jualan tahunan mencecah sehingga lima ratus ribu atau setengah juta setahun.

Sehubungan itu, Syed Zainal Abidin turut mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP kerana sentiasa menyusun gerak kerja dan melaksanakan program berterusan sepanjang tahun dalam memperkasakan asnaf yang tinggal di Wilayah Persekutuan.

Beliau menjelaskan bahawa program yang diadakan pada hari ini adalah dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ- MAIWP), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Richworks International Sdn. Bhd.  

Syed Zainal Abidin dalam sesi ucap utama Program Bicara Niaga Agensi @ Usahawan MAIWP.

“Program yang diadakan ini sangat bermakna bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan dalam kalangan umat Islam semata-mata, bahkan dapat mengeluarkan mereka daripada arus kemiskinan.

“Harapan kami agar usahawan MAIWP dapat menanam keazaman dan usaha bersungguh-sungguh, bukan yang biasa-biasa tetapi mampu menjadi luar biasa serta boleh menjana pendapatan yang lebih tinggi sehingga bergelar Usahawan Jutawan Asnaf MAIWP,” jelasnya.

Menurut beliau lagi,  pada tahun 2022, MAIWP telah berjaya melatih dan membimbing usahawan melalui pelbagai Program Pembangunan Keusahawanan. 

Sebahagian peserta yang hadir dalam Program Bicara Niaga Agensi @ Usahawan MAIWP pada 15 Mac 2023.

“Antaranya di bawah Kursus Asas Keusahawanan; Kursus Forensik, Coaching & Mentoring; Kursus Growthpreneur Success; dan Kursus Digital Marketing. 

“Program ini melibatkan seramai 1,800 peserta daripada jumlah keseluruhan seramai 4,000 penerima Skim Bantuan Perniagaan dan Bimbingan Keusahawanan di Wilayah Persekutuan.” Ujarnya. 

Dalam  majlis pada hari ini, beliau turut menyampaikan sijil halal keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada empat orang usahawan yang terpilih iaitu Encik Ahmad Nor Tarmidi Mohd Nor, Encik On Isa, Encik Md Isa Hamad dan Puan Norul Huda Abdul Hadi.   

Antara usahawan MAIWP yang mempamerkan produk bisnesnya sempena Program Bicara Niaga Agensi @ Usahawan MAIWP pada 15 Mac 2023.

Selain itu juga, beliau menyampaikan sijil penghargaan dan dan wang tunai berjumlah RM1,000  masing-masing kepada tiga orang tokoh usahawan cemerlang terdiri daripada  Ahmad Nor Tarmidi Mohd Nor, On Isa dan  Muaz Ibni Azlan. 

Ketika merasmikan majlis tersebut, beliau  turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada golongan pembayar zakat Wilayah Persekutuan khususnya di media sosial. 

“MAIWP hanya pengantara dalam pengagihan zakat yang dibayar. Saya pasti, lontaran ini akan didengari oleh para pembayar zakat dan seterusnya menyuntik dorongan mereka untuk terus berzakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -