RM14.97 juta senggara jalan rosak di parlimen Kuantan

Wan Razali Wan Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan sebanyak RM14.97 juta bagi tujuan penyenggaraan jalan yang rosak di jalan Persekutuan di kawasan Parlimen Kuantan bagi tahun 2013 hingga 2022.

- Advertisement -

Menurut KKR, kelulusan peruntukan itu juga termasuk peruntukan bagi kerja pembaikan akibat kerosakan banjir.

“Bagi kerja pembaikan akibat bencana, kementerian tidak diberikan peruntukan khusus bagi tujuan tersebut,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Razali Wan Nor [PN-Kuantan] di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Razali dalam soalannya meminta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah perbelanjaan baik pulih jalan raya yang rosak bagi 10 tahun yang terakhir secara keseluruhan dan jumlah perbelanjaan baik pulih jalan raya yang rosak khusus disebabkan musim monsun (hujan) dan kesan banjir.

Menurut KKR lagi, bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna di Jalan Persekutuan Kawasan Parlimen Kuantan, kementerian telah mengenal pasti kerosakan jalan berdasarkan anggaran peruntukan jalan (APJ) Tahun 2023 di bawah Program Penyenggaraan Berkala Pavemen dengan nilai keseluruhan kerja sebanyak RM56.33 juta, manakala di bawah Program Penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen dengan nilai keseluruhan kerja sebanyak RM6.11 juta.

“Kerja-kerja ini akan dilaksanakan secara arahan kerja (AK) kepada syarikat konsesi dan tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan serta senarai keutamaan kerja yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan bagi keseluruhan jaringan jalan persekutuan di bawah seliaan kementerian ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -