Anwar rencatkan pembangunan ekonomi Bumiputera

Belanjawan 2023: Tidak perlu Guan Eng, tapi Anwar jadi ejen DAP

- Advertisement -

SETELAH lama rakyat Malaysia ternanti dengan pengharapan Bajet 2023 yang bertemakan Malaysia ‘Madani’ akan mampu memberikan impak dalam cabaran rakyat yang dijangka perlu mendepani krisis ekonomi global yang bakal menghimpit, namun ternyata Belanjawan 2023 Kerajaan Campuran PH-BN ini adalah begitu mengecewakan dengan sekadar hanya retorik kosong!

Khususnya dalam konteks yang paling memeranjatkan utamanya adalah aspek pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang pasti akan membuatkan ramai tertanya-tanya apakah peranan Umno dalam Kerajaan Campuran ini?

Bermula dengan berita yang mengejutkan kepada peneroka Felda yang rata-ratanya adalah orang Melayu, pra pembentangan Belanjawan 2023 telah memberikan indikasi betapa orang Melayu akan dihukum apabila Kerajaan ‘Madani’ telah mengambil keputusan untuk membatalkan agenda yang digerakkan oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghapuskan hutang peneroka Felda sejumlah RM8 bilion! 

Bayangkan dalam keadaan tekanan ekonomi semasa tanpa strategi tuntas bagi meringankan beban masyarakat ditambah idea ‘menu rahmah’ yang sekadar tangkap muat sedang penyelesaiannya bersifat sementara malah turut beri kesan kepada peniaga-peniaga baru dan kecil, orang Melayu warga Felda pula kembali dihukum berhutang!

Kemudian sewaktu pembentangan Belanjawan 2023 sebentar tadi, tampaknya dengan gagap dan berhati-hati tanpa kejelasan dari pernyataannya, Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan yang begitu mengejutkan yang wajar dipersoal seluruh masyarakat Melayu-Bumiputera dalam negara apabila Anwar Ibrahim menjelaskan hasrat menerusi bajetnya yang ingin ‘menutup’ fungsi yayasan di bawah agensi-agensi yang menggalas tanggungjawab untuk memacu perkembangan ekonomi Bumiputera di negara ini seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) sebagai satu entiti tunggal dengan alasan ‘fungsi yang hampir sama bertujuan supaya lebih efektif dalam menunaikan mandatnya’.

Ini adalah tindakan regresif yang dilihat akan melumpuhkan pemberdayaan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dengan mengemukakan alasan yang tidak munasabah sedangkan fungsi segenap yayasan mahupun agensi-agensi ini adalah ternyata berbeza antara satu sama lain, sama ada dalam hasrat pemilikan modal saham, pengurusan pembangunan ekuiti, meningkatkan bilangan tenaga kerja Bumiputera termasuk bukaan peluang usahaniaga dengan pemberian geran dalam skop masing-masing yang berbeza sebegitu pengurusan pemilikan hartanah pelaburan Bumiputera.

Orang Melayu perlu bangkit dan tanyakan apakah matlamat yang ingin dicapai melalui agenda ini, kerana menerusi penstrukturan semula yang hanya diperindahkan nama sebagai ‘Reformasi Institusi’, namun kesan yang akan ditanggung kelak adalah ke atas pegangan orang Melayu itu sendiri! 

Termasuk dari jangkaan pengurusan sumber yang tidak efisien dan kebarangkalian peruntukan yang akan mengecil atau terhad! Inilah suatu perkara yang jelas tampaknya betapa Anwar Ibrahim dengan dasar ekonomi liberalnya langsung tidak benar-benar peduli dengan nasib dan kemajuan ekonomi orang Melayu! 

Sedangkan data berkaitan kemiskinan, pendapatan, pekerjaan dan kekayaan modal, kesemuanya menunjukkan bahawa kaum Melayu dalam persaingan global kini masih tetap ketinggalan berbanding kaum bukan-Melayu dalam semua sektor. 

Satu-satunya data yang menunjukkan kedudukan Melayu yang lebih tinggi sudah pastilah kadar kemiskinan! 

Mewakili ARMADA dan BERSATU, suka untuk saya ingatkan betapa sewaktu PERIKATAN NASIONAL menjadi kerajaan peruntukan terbesar ke atas pegangan Melayu telah diberikan yang membawa pulangan kembali bukan sahaja ke atas orang Melayu namun kepada perkembangan ekonomi negara yang memanfaat berbilang kaum. 

Dalam pada selaku Ketua Penerangan ARMADA saya bersetuju untuk cukai orang kaya dan laksanakan percukaian positif melalui cukai barangan mewah sebegitu seharusnya agenda reformasi percukaian yang tampaknya tidaklah lebih difokuskan Anwar sedangkan wajar diterokai percukaian lain seperti cukai warisan, ‘windfall tax’ mahupun ‘capital gain tax’ yang perlu lebih diperhalusi ke sidang Belanjawan! 

Justeru janganlah digadai pegangan orang Melayu dan bawa agenda kesamarataan sedangkan ianya tidak mampu imbangi keperluan nisbah antara agihan sumber dengan jumlah masyarakat Bumiputera yang masih terkebelakang dalam sudut ekonomi! 

Jangan ditarik agenda afirmitif untuk memperkukuh ekonomi orang Melayu yang mana pasca pandemik dan cabaran krisis ekonomi ini akan beri implikasi yang lebih serius dalam pada kerajaan hilang punca untuk mengatasi masalah pegangan kapital oleh pemodal yang menguasai rantaian perbekalan sedangkan ianya tidak ramai diceburi orang Melayu!

Kami di PERIKATAN NASIONAL malah tidak lupa setelah dibongkarkan oleh ramai pimpinan BERSATU khususnya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali,  Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin yang pernah menyelamatkan usaha DAP yang dipelopori oleh Lim Guan Eng sewaktu menjawat sebagai Menteri Kewangan yang mahu potong atau menyekat sejumlah peruntukan RM400 juta untuk Melayu-Bumiputera malah Anwar Ibrahim di ketika itu turut berdiam diri atas usaha tersebut! 

Kini akhirnya tanpa perlu Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, namun cukuplah sosok Anwar Ibrahim menjadi ejen dalam melunaskan agenda kesamarataan yang diperjuangkan DAP bermula dengan memperkecilkan peruntukan orang Melayu dan menguncupkan pegangan terkait Bumiputera.

“Melayu Prihatin”

MOHD ASHRAF MUSTAQIM
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia
24 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 24/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -