Pelakon Julian Sands hilang di pergunungan California Selatan

Gambar terbaharu pelakon Julian Sands pada 2023. ( FOTO: San Bernardino County Sherrif's Office)
- Advertisement -

LOS ANGELES, California: Pelakon veteran British Julian Sands, bintang filem yang dicalonkan Oscar, A Room With A View telah hilang selama lima hari di pergunungan California Selatan, lokasi dia dikatakan melakukan pendakian.

- Advertisement -

Jurucakap sheriff San Bernardino County,  Gloria Huerta dalam kenyataannya pada  Rabu (18 Jan), waktu tempatan, berkata, Sands, 65, sebenarnya telah dilaporkan hilang pada Jumaat (13 Jan) lepas di laluan di Gunung Baldy, lapor AP.

“Pasukan mencari dan menyelamat mencari Julian Sands di kawasan Pergunungan San Gabriel, kira-kira 40 batu (64.3 kilometer) di timur laut pusat bandar Los Angeles, tetapi terpaksa menangguhkan pencarian darat pada Sabtu (14 Jan) kerana keadaan laluan dan risiko runtuhan salji, dan sejak itu,  tidak dapat menyambung semula operasi pencarian,” jelas Huerta.

Tambahnya, pasukan penyelamat kembali cuba mengesan Sands dengan helikopter dan dron apabila keadaan cuaca mengizinkan, dan akan meneruskan pencarian di kawasan daratan.

Julian Sands pernah membintangi filem usahasama Astro Shaw Malaysia dan HBO Asia, The Garden of Mists yang menjalani penggambaran di Cameron Highland, Pahang. (FOTO: TV Insider)

Terbaharu fenomena  ribut  berterusan telah mewujudkan keadaan  berbahaya di pergunungan California Selatan pada Jumaat (13 Jan) lalu dan berlarutan hingga hujung minggu, yang mana dua pejalan kaki dilaporkan maut di kawasan itu baru-baru ini.

Sands yang sebelum ini menetap di Hollywood utara pernah membintangi filem yang meraih tujuh pencalonan Oscar (dan menang empat daripadanya), A Room with a View (1987), selain pernah menerajui filem-filem seperti Warlock (1989), Arachnophobia (1990), Boxing Helena (1993), dan Leaving Las Vegas (1995).

Namun, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, Sands hanya mengambil watak kecil dalam filem dan televisyen termasuk The Garden of Evening Mists (2019), filem usahasama Astro Shaw Malaysia dan HBO Asia yang turut menjalani penggambaran di Cameron Highland, Pahang, dan antara filem terakhir lakonannya ialah The Ghost of Monday (2021). – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -