Bencana bukan isu politik tetapi situasi kemanusiaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Bencana bukan isu politik. Ini situasi kemanusiaan,” ujar Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Katanya, sebahagian besar operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Jabi diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan petugas setempat dengan sedikit bantuan pihak berkuasa.

Beliau menambah, air yang naik serentak di hampir sebahagian besar daerah tidak memungkinkan pihak berkuasa penyelamat mempunyai anggota dan aset yang mencukupi.

Menurutnya, tanpa peranan JPKK dan petugas setempat seperti Jabatan Amal, Kelab 4×4, Pejabat Adun dan lain-lain nescaya ramai mangsa akan terperangkap.

“JPKK selamat belaka tanpa kira warna,” ujarnya yang juga Adun Jabi menerusi laman Facebook, hari ini.

Katanya, selepas selamat di pusat pemindahan sementara (PPS), semua mangsa dapat agihan kelengkapan yang sama

Tambahnya, pihak JPKK juga yang menyediakan makanan secara sukarela di mana semua mangsa di PPS diberi makan tanpa kira warna.

“Bukalah minda, kita dah berada di era millenium,” ujarnya lagi.

Mengenai bantuan luar yang mula mengalir masuk ke kawasan bencana, beliau berharap penyumbang menghubungi pihak pimpinan atau pengurusan setempat untuk menyelaraskan agihan. Ini, katanya supaya mereka yang benar-benar menjadi mangsa banjir tidak tercicir.

“Sebaiknya jangan agih sendiri ikut jumpa orang tepi jalan,” tambahnya.

Dalam situasi begitu, kata Azman mereka yang menahan pukat di air banjir sentiasa ada.

Itu, ujar beliau sekadar pandangan supaya tidak berulang situasi di Manek Urai pada 2014 lalu. – HARAKAHDAILY 23/12/2022