TS Mokhtar Al-Bukhary jadi sasaran kerana beliau Melayu

- Advertisement -

PADANG SERAI: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat telah bersikap perkauman apabila menyasarkan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berkaitan isu beras, tetapi tidak bertindak apabila kaum lain membuat tuntutan melampau.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri membidas tindakan Anwar ketika Ceramah Grand Finale PN di Tapak Bazar Ramadan Taman Selasih, di sini malam tadi.

“Saya pun terkejut dia (Anwar) kata Syed Mokhtar duk ‘control’ (kawal) beras. Dia kata Syed Mokhtar tahun ni kena bagi balik dekat petani RM10 juta. Tahun depan RM50 juta. Pasal apa Syed Mokhtar? Pasal Syed Mokhtar ini Melayu. 

“Awat tak dak orang kaya lain dah di Malaysia ni? Syed Mokhtar duduk nombor berapa? Kalau senarai yang dikeluarkan oleh majalah Forbes, dalam senarai manusia terkaya di Malaysia Syed Mokhtar ni duk nombor belas-belas dah.

“Yang kaya nombor satu siapa? Nombor dua siapa? Nombor tiga siapa? Nombor empat siapa? Kenapa pi cari hat nombor belas-belas dulu. Pasal kawan itu senang buli, pasal dia Melayu. Nampak tak kerajaan ni kerajaan siapa?

“Bukan saya rasis. Tapi kalau saya cakap memang depa kata saya rasis. Kalau depa cakap tak apa. Depa cakap depa nak Dong Zong jadi dapat bajet, depa nak UEC diiktiraf, macam-macam. Nak tanah 999 tahun di Perak. 

“Macam-macam depa cakap nak Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, semua orang kata tak apa. Bila saya bercakap, kita bercakap, depa kata ni perkauman, tak betul lagu itu. 

“Kalau hang cakap boleh pasal apa aku tak boleh? Koyak? Depa koyak? Panas tak apa, jangan koyak!” ujarnya mengungkap ‘tagline’ tersohornya itu.

Sanusi turut merakamkan ucapan takziah kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai yang diarahkan menarik diri di mana tindakan BN berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) itu kerana bimbang dengan kekuatan PN.

“Tarik diri tanpa syarat, tapi (Dato’ Seri) Saifuddin (Nasution) kata akan diberi peranan dalam kerajaan. Itulah baru rasuah itulah baru Menteri kena pi siasat, panggil SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pi siasat. Ni duk siasat Sanusi jadi apa?” bidasnya.

Beliau juga berkata, calon PN P.017 Padang Serai, Dato’ Azman Nasruddin adalah pemimpin Melayu yang di peringkat Exco Kerajaan Negeri Kedah turut bertanggungjawab menjaga hal ehwal kaum India di negeri ini.

Tempelaknya, tindakan BN mengarah calonnya yang berketurunan India menarik diri supaya memberi sokongan kepada calon PH tidak dikenali masyarakat di situ amat dipersoalkan dan menunjukkan wujud kebimbangan.

“Saya kira dah. Saya jumlah-jumlah undi PH kalau campur dengan undi BN, tak akan mampu menewaskan undi yang akan diperolehi oleh Cikgu Azman,” ujarnya yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menyeru undi diberikan kepada Dato’ Azman. – HARAKAHDAILY 6/12/2022

- Advertisement -