Bayangan luar tabii Anwar tuduh PN terima dana judi

PM gagal terjemah rangka tindakan untuk bawa negara ke depan

- Advertisement -

PADANG SERAI: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan mempunyai bayangan luar tabii apabila mendakwa PERIKATAN NASIONAL (PN) dibiayai syarikat judi, sedangkan premis kegiatan itu ditutup di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan dibuat Anwar seusai mesyuarat Kabinet pertama itu mengejutkan dan tidak masuk akal, sedangkan patut diumum adalah mengenai usaha membawa negara ini ke depan.

“Saya ingat Perdana Menteri akan keluar daripada mesyuarat Kabinet macam Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dulu; buat pengumuman-pengumuman penting sebagai sebuah kerajaan baru. Bagaimana nak terjemahkan manifesto mereka. 

“Bagaimana nak menterjemahkan ucapan-ucapan yang begitu berapi-api masa kempen pilihan raya dalam bentuk tindakan untuk membawa negara ini ke depan. Mana dia hang punya idea-idea ekonomi yang hang duk syarah hari itu? Mana dia?” persoal beliau.

Bidasnya, pengumuman cabutan khas judi diturunkan daripada 22 kali kepada lapan kali itu tidak membawa erti kerana judi banyak atau sedikit ia tetap haram di sisi Islam, tetapi Anwar hendak tunjukkan kononnya beliau bagus dengan pengurangan itu.

“Dia nak habaq dia lebih Islamik, dia lebih anti rasuah, dia bawa turun daripada 22 jadi lapan. Lapan pun tak boleh. Dia nak habaq kata dia bagus. Kedah, Kelantan, Terengganu, kita tutup terus judi.

“Kita tak ada duk syarah siapa dah (yang patut laksanakan, sebaliknya) tutup ajelah (segala kegiatan judi). (Pengurangan itu) bukan isu utama yang patut diketengahkan. (Tetapi) dia sedang membuat proses normalisasi.

“(Normalisasi untuk) gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan para kleptokrasi dalam Barisan Nasional (BN) boleh diterima oleh rakyat negara ini. Normalisasi itu berjalan serentak dengan proses memburukkan lawan. 

“Maka PC pertama Perdana Menteri ialah menempelkan wajah hitam kepada PN yang menurut Anwar ada kaitan dengan judi. Bagi orang yang akalnya waras boleh membuat pertimbangan semua ucapan ini tak masuk akal. 

“Ucapan yang sangat luar tabii daripada Perdana Menteri,” bidas Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS pada Ceramah Grand Finake PN di Tapak Bazar Ramadan Taman Selasih, di sini malam tadi.

Menurut beliau, kerajaan tersebut juga dikatakan luar tabii kerana penubuhannya tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang majoriti di mana telah menzahir tsunami penolakan terhadap PH dan BN pada PRU15 baru-baru ini.

Menurutnya, jelas nyata bahawa rakyat telah memilih calon-calon yang cerdik, bersih dan berintegriti untuk menjadi pemimpin negara dan bukannya kalangan individu memiliki kes mahkamah serta dibicarakan pertuduhan rasuah.

“Ada lagi 47 kes, (tapi dilantik) jadi Timbalan Perdana Menteri. Pasal itu saya kata kerajaan ini luar biasa, luar biasa dengan luar tabii itu samalah,” tempelak beliau yang juga Pengerusi PN Negeri. – HARAKAHDAILY 6/12/2022

- Advertisement -