Kartel punca masalah pesawah, beritahu Sanusi kepada Anwar

Langkah Anwar bukan penyelesaian sebenar masalah pesawah

- Advertisement -

PETANI sawah padi miskin bukan kerana syarikat-syarikat konglomerat tidak membantu mereka memberi wang RM10 juta atau RM50 juta. Mereka miskin kerana kitaran penghasilan padi dan industri padi telah dikawal oleh kartel-kartel besar sejak puluhan tahun lamanya. 

- Advertisement -

Malah sebelum wujudnya BERNAS dan LPN pun petani sudah miskin. Sejak sistem padi kunca mula dikenakan oleh pemborong dan pengilang padi, kemiskinan pesawah padi telahpun direncana supaya tidak akan berakhir.

Lama sebelum wujudnya MADA pada 1973, pesawah padi telahpun miskin. Jeha dan Lahuma, adalah watak sebenar keluarga petani Melayu miskin dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, dan kemiskinan Jeha dan Lahumalah yang mendorong ditubuhkan MADA. 

Setelah sekian bilion ringgit bantuan dan subsidi diturunkan melalui agensi-agensi di rancangan penanaman padi, petani kekal miskin, laba dan manisnya telah pergi kepada pihak lain. 

Segala sudut dalam industri padi, daripada input benih, baja, racun, mesin dalam proses penanaman sehinggalah kepada pemasaran, pengilangan, dan pengurusan skim bantuan – ada pihak yang telah mengawalnya sejak puluhan tahun dan merekalah pihak yang paling beruntung. Mereka inilah sebenarnya kartel padi.

Kartel padi telah membelit sistem, kaedah dan proses dalam industri penanaman padi dengan pelbagai pendekatan. Dari atas sampai bawah, dari benih subsidi padi sampai ke timbangan dan potong basah di kilang, dari traktor, jetuai hinggalah kepada lori, dari input baja, racun, kuota benih dan variety, dari parit gila hingga ke MAFI, dari PPK hingga ke NAFAS, semuanya berada dalam mulut naga.

Jika keseluruhan sistem yang terbelit ini tidak dirungkai, 10 orang Syed Mokhtar pun tidak akan berupaya mengeluarkan petani daripada kemiskinan mereka. 

Berapa lamakah seorang Syed Mokhtar sanggup memberikan RM50 juta setahun untuk menyelesaikan kemiskinan pesawah padi? Mengarahkan orang kaya import beras menyumbang kepada petani adalah langkah populis, menunjuk-nunjuk, bukan langkah menyelesaikan masalah kemiskinan petani.

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 6/12/2022

- Advertisement -