Waspada ideologi Komunis dan ekstremis

- Advertisement -

RAKYAT Malaysia pasti tidak pernah lupa, kezaliman dan keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) sewaktu tempoh darurat, daripada 1948-1960. Begitu banyak jiwa yang terkorban, demi mempertahankan akidah dan tanah air dari fahaman songsang ini. Pada waktu itu, PKM bertegas hendak menubuhkan negara Komunis di tanah air kita. Mereka menentang British bukan atas dasar cintakan tanah air, tetapi atas dasar ekstremis dan kepentingan ideologi politik Komunis.

- Advertisement -

Soalnya, adakah kita mahu ideologi dan fahaman ekstremis seperti ini kembali meresap dan meracuni anak-anak kita? Apa kita tidak mengambil iktibar dari kezaliman dan kepedihan rakyat semasa darurat dahulu? Komunis kini bukan lagi zaman mengangkat senjata, mereka kini berperang dengan ideologi dan fahaman yang menghasut anak-anak bangsa kita. 

Hakikatnya perang menentang Komunis telah lama tamat usai berakhirnya darurat. Namun, faktanya adalah, masih wujud dalam kalangan pemimpin politik yang berfikiran ekstrem seperti Komunis, mesra Komunis dan amat galak mengiktiraf Komunis.

Sewajarnya, rakyat Malaysia meletakkan jati diri dan taat setia kepada rukun negara, yang menjadi teras identiti negara bangsa kita. Kepercayaan kepada Tuhan adalah elemen terpenting yang termaktub dalam rukun negara, malah dijadikan sebagai teras dalam merangka Perlembagaan Persekutuan. Islam yang menjadi Agama Persekutuan itu sendiri, adalah suatu agama yang syumul, dan adil terhadap semua bangsa dan lapisan masyarakat. Apakah kita masih perlukan ideologi Komunis bertapak di negara kita?

PAS serta Perikatan Nasional yang merupakan gabungan parti majmuk tidak ekstrem dan sederhana, akan terus menjadi benteng negara dalam mengawal dan mencegah pemikiran Komunis dan ekstremis yang berlegar di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Oleh itu, kami menyeru semua rakyat Malaysia, untuk menolak mana-mana pemimpin yang berideologi Komunis, sekiranya dicalonkan dalam PRU-15.

HANAFI ZULKAPLI
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 21/10/2022

- Advertisement -