
KOTA BHARU: Sekiranya berlaku bencana banjir besar ketika hari mengundi kerajaan ada pilihan untuk membuat pengisytiharan darurat bagi mengelakkan pilihan raya daripada diteruskan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan darurat boleh dilakukan kerajaan apabila berlaku banjir besar pada hari pengundian.
“Hanya satu perkara yang boleh menghalang pilihan raya daripada diadakan iaitu melalui pengisytiharan darurat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kelantan Go Digital di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu penamaan calon 5 November dan pengundian awal 15 November manakala hari mengundi 19 November 2022.
Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berkata, PAS akur dengan keputusan tarikh pengundian seperti diumumkan SPR.
Menurutnya PAS sebagai sebuah parti politik menerima keputusan apa yang ditetapkan SPR.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi dan nama calon yang akan bertanding, kata beliau setakat ini masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan.
Katanya pada dasarnya, PAS telah mengemukakan senarai nama ke peringkat pusat dan sekarang pada fasa menentukan siapa calon yang akan bertanding.
“Kita ada calon muka baharu dan lama akan ditampilkan, kita juga ada terima tawaran untuk bertanding di kerusi lain, namun sekiranya tidak sesuai kita tidak akan terima,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2022




















