Pastikan PH tidak berkuasa strategi yang diumum terbuka

- Advertisement -

IPOH: Perancangan dalam pilihan raya adalah perkara strategi yang tidak boleh didedahkan kepada pihak lain, kerana ia boleh mengundang tragedi, demikian tegas Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad.

Namun katanya, satu strategi PAS bagi pilihan raya yang diumumkan bagi pengetahuan semua adalah tegas untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa pada PRU akan datang.

Jelasnya, strategi adalah perkara keempat perlu dimiliki dalam memasuki pilihan raya selepas jentera; wang dan perancangan yang dinyatakannya pada Majlis Makan Malam Dana Pilihan Raya PAS Negeri Perak di Hotel Impiana, di sini malam tadi.

“Ini strategi yang kita kena buat. Buatlah macam mana cara sekalipun. Kita tak nak Pakatan Harapan berkuasa balik. Ini yang kita cuba duk memikir macam mana untuk nak uruskan hal sepertimana yang berlaku.

Tuan-tuan, saya duduk bila masuk di Putrajaya kita tengok. Bincang dengan pegawai-pegawai di sana, mereka menceritakan pada kita 22 bulan bayangkan mereka datang ke pejabat dalam keadaan yang tension dan sebagainya.

“Keadaan yang kita tengok mereka tidak ada rasa kesenangan. Jadi sebab itu tak akan kita nak izinkan lagi mereka (PH) berkuasa,” ujar beliau menegaskan semua usaha dibuat itu adalah untuk memberikan keuntungan kepada masa depan generasi akan datang dan Islam.

Terdahulu dalam ulasannya menegaskan pentingnya jentera kerana ia perlu dalam mendekati pengundi berbanding pendekatan DAP yang lebih banyak bermain propaganda dan media tanpa perlu kewujudan jentera.

Manakala katanya, wang perlu dalam memenuhi kelengkapan jentera dalam bergerak kerja di mana sumber kewangan PAS sejak dahulu adalah daripada sumbangan kalangan ahli-ahli dan pimpinannya.

Sebab itu juga beliau menyangkal bahawa tuduhan PAS menerima RM90 juta daripada Umno adalah tuduhan bodoh seperti tuan rumah memberi senjata untuk perompak datang merompak di kediamannya.

Dalam sidang media selepas itu, Ustaz Idris yang menyertai Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin turut menegaskan pentingnya agenda penyatuan ummah dijayakan demi masa depan negara ini.

Turut sama adalah Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria. – HARAKAHDAILY 3/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -