Biar bijak menghadapi ancaman musuh

- Advertisement -

SEMAKIN hampir Pilihan Raya Umum, semakin kuat pihak musuh menyerang dan mengganggu kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang turut dianggotai PAS. Kiranya parti pemerintah tidak berhati-hati dan membuka ruang buat mereka, awas kelicikan DAP boleh sahaja membawa mereka kembali berkuasa.

Sejak tertiarap jatuh, hilang kuasa di peringkat Persekutuan angkara peletakan jawatan mengejut Perdana Menteri PH Tun Dr Mahathir bulan Februari 2020 lalu, PH kemaruk untuk kembali berkuasa di Putrajaya. 

Dan tiadalah komponen PH yang paling aktif dan bersungguh-sungguh mahu kembali berkuasa selain DAP yang merupakan tonggak buat PH yang memungkinkan PKR dan PAN bersama menguasai Putrajaya.

Saya mengatakan cuma DAP yang nampak bekerja kuat, kerana PKR terlalu terbelenggu dengan krisis dalaman manakala PAN pula terus hanyut sejak hilang kuasa. PH mengharapkan DAP mengangkat mereka kembali kerana DAPlah yang menguasai ‘fixed deposit’ mereka iaitu sokongan pengundi bukan Melayu.

Lantas apa sahaja yang terlintas di hadapan mata yang boleh digunakan untuk menggugat atau mengancam kedudukan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ sehingga mereka boleh kembali berkuasa DAP akan peralatkan sepenuhnya. 

Mereka tidak khuatir sama ada isu yang dibawa itu berasas ataupun tidak yang penting ia mesti dipanaskan, biar rakyat menggelupur menyambutnya dengan harapan kerajaan ini akan jatuh PRU15 nanti.

Tidak boleh dipertikaikan bahawa kekuatan DAP bertenggek pada sokongan masyarakat bukan-Melayu, sebagaimana terbukti dan cukup ketara dalam PRU ke-14 lalu. Oleh itu adalah dijangka demi menebus kembali kuasa yang hilang dari tangan mereka, DAP akan tumpu pada meraih sokongan ‘fixed deposit’ mereka ini.

Dalam beberapa Pilihan Raya Kecil sebelum ini termasuklah Pilihan Raya Negeri di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mereka sedar terdapat peratusan kecil pengundi bukan-Melayu mula lolos dari cengkaman mereka. 

Kiranya trend ini tidak dibendung DAP mungkin akan tergugat lantas terkuburlah impian untuk kembali ke Putrajaya.

Oleh yang demikian DAP mula garang dan berani untuk meraih kembali simpati ‘fixed deposit’ mereka. Pencapaian dalam PRU 14 dahulu perlu diulangi di mana calon-calon PH lantaran kuatnya desakan DAP telah berjaya memperolehi rata-rata hampir 90 peratus undi bukan-Melayu seluruh negara.

Jika ini berjaya diulangi dan pengundi Melayu pula kembali berpecah sebagaimana mereka terpecah dalam PRU14 kerana tiada muafakat di kalangan parti-parti Melayu Islam, pasti DAP akan kembali bertapak di Putrajaya bersama gerombolan PKR dan PAN.

Jika ini berlaku tiadalah harapan untuk mana-mana pihak menyingkirkan mereka lagi kerana sudah tentu mereka akan memperbaiki segala kelemahan punca kejatuhan mereka lalu.

Hari ini satu demi satu isu mereka jaja, dan jika diperhatikan khasnya di media bukan-Melayu, DAP sudah mula sama ada secara langsung atau tidak membakar sentimen perkauman.

Mengadu-domba biar masyarakat bukan-Melayu merasakan seolah kedudukan dan status mereka terancam. Dengan kebimbangan tersebut DAP mengharapkan ‘fixed deposit’ tidak akan lari dan terus sekali lagi memenangkan mereka dalam PRU15.

Dalam sebuah portal bebas di media sosial umpamanya baru-baru ini, pemimpin kanan DAP Nga Kor Ming mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yakub.

Sempena ulang tahun pertama Ismail memegang jawatan Perdana Menteri, Nga dalam Hivenews Online mendakwa bahawa prestasi Ismail sebagai Perdana Menteri sangat tidak memuaskan. Tambahnya pemikiran Ismail membawa negara jauh ke belakang dan tidak selari dengan landasan masyarakat antarabangsa.

Salah satu punca dakwanya apabila Perdana Menteri mengumumkan arahan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan kerajaan termasuklah di Kementerian Luar sebagai salah satu langkah memartabatkan Bahasa Melayu. Menurut beliau usaha ini sekadar memainkan sentimen Melayu sedangkan ia sebenarnya membawa negara melangkah 30 tahun ke belakang.

Secara terang-terang DAP sanggup memperlekeh dan menyerang usaha memartabatkan Bahasa Melayu, dan serangan dilancarkan dalam media bukan-Melayu.

Mereka mahu menggambarkan seolah usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini merugikan negara. Di manakah perginya ikrar Kesetiaan Pada Raja dan Negara? Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi Malaysia, kalau bukan kita rakyat Malaysia yang mempertahan dan memeratabatkannya, pada siapa lagi mahu diharapkan?

Tambahnya lagi sepanjang Ismail menjadi Perdana Menteri banyak perkara yang berlaku dalam negara gagal diurus dengan baik akibatnya negara terus melangkah ke belakang, benarkah demikian? Bagi saya sepanjang tempoh ‘Kerajaan Keluarga Malaysia’ ini rakyat mula yakin yang nasib dan kebajikan mereka terbela tidak sebagaimana 22 bulan pemerintahan PH dahulu di mana segala janji yang ditabur gagal ditepati.

Terbaru sempena perayaan Kemerdekaan Negara, mereka mula menuntut agar kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini menghapuskan segala keistimewaan dan kuota Bumiputera, sebaliknya memberikan hak sama rata buat semua, barangkali sebagaimana gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang mereka perjuangkan.

Hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera adalah kontrak sosial sejak negara mencapai kemerdekaan dan termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Negara.

Ia memberi jaminan bahawa orang-orang Melayu dan Bumiputera diperuntukkan beberapa keistimewaan dalam beberapa perkara termasuklah jawatan dalam Perkhidmatan Awam, biasiswa, keistimewaan pendidikan serta pengeluaran lesen atau perniagaan yang dilindungi oleh Yang di-Pertuan Agong.

Adakah DAP menuntut mahu menghapuskan keistimewaan ini apabila ghairah mahu menarik sokongan di kalangan ‘fixed deposit’ mereka?

Inilah antara ancaman yang perlu diambil kira dan difikirkan khasnya oleh pimpinan politik umat Melayu Islam. Mereka diyakini tidak akan berhenti di situ kerana mereka sedar untuk kembali ke Putrajaya mereka perlukan sokongan masyarakat bukan-Melayu sebagaimana mereka perolehi dalam PRU14 lalu.

Maka banyaklah isu-isu lain khasnya berkaitan bangsa dan agama akan dimainkan demi merangsang minat dan sokongan sasaran mereka.

Hari ini dalam akhbar The Sunday Star, usaha dibuat untuk melaga-lagakan antara Institusi Raja-raja dengan pemimpin Melayu Islam. Kononnya pemimpin politik, saya percaya yang dimaksudkannya PAS dalam kerajaan cuba membawa agenda Islam yang melampau, satu tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab dan seakan seiring dengan pendekatan DAP.

Berwaspadalah kita, bersatulah kita dalam menghadapi ancaman ini, jangan diulangi kesilapan yang lampau, sesal kemudian tiada gunanya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -