AS digesa pulangkan aset AS$7 bilion milik rakyat Afghanistan

Tiga juta kanak-kanak di Afghanistan kini berisiko kekurangan zat makanan. (FOTO AFP)

Oleh ZULHAIDI MANSOR

WASHINGTON: Kira-kira 71 pakar  ekonomi global, termasuk pemenang hadiah Nobel, menggesa Amerika Syarikat supaya memulangkan semula aset bernilai AS$7 bilion (RM31. 1 bilion) milik Afghanistan.

Pada ketika ini, lebih separuh daripada penduduk Afghanistan menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk, dengan tiga juta kanak-kanak berisiko kekurangan zat makanan, lapor TRT World

Advertisement

Justeru, pakar-pakar ekonomi berkenaan menggesa AS agar melepaskan rizab AS$7 bilion Afghanistan yang dibekukan Washington selepas Taliban mengambil alih kawalan negara Asia Selatan itu, setahun lalu.

“Kami amat prihatin dengan bencana ekonomi dan kemanusiaan yang semakin meningkat di Afghanistan, dan khususnya, dengan peranan dasar AS dalam memacu mereka,” ujar kenyataan bersama 71 ahli ekonomi dan pakar pembangunan pada Rabu (10 Ogos)  dalam surat kepada Presiden AS, Joe Biden dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen.

Dalam surat itu, mereka berhujah bahawa AS tidak boleh mewajarkan memegang rizab itu, yang dibekukan di bank-bank Amerika apabila kerajaan sebelum ini yang disokong Washington di Kabul tumbang, yang membolehkan Taliban mengambil alih negara itu pada Ogos 2021.

Pakar ekonomi berkata, kejatuhan dalam aktiviti ekonomi dan pengurangan mendadak bantuan asing oleh penyokong negara itu sebelum ini selepas pengunduran tentera AS telah menyebabkan ekonomi Afghanistan mengalami masalah.

Ia diburukkan lagi dengan keengganan AS untuk memulangkan dana, serta $2 bilion yang disekat oleh Britain, Jerman, dan Emiriah Arab Bersatu, kata mereka.

Profesor Joseph Stiglitz bercakap pada Forum Pembangunan China di Beijing, China pada 24 Mac 2019. (FOTO Reuters)

“Rizab ini sangat penting untuk ekonomi Afghanistan, khususnya, untuk menguruskan bekalan wang, untuk menstabilkan mata wang dan untuk membayar import  terutamanya makanan dan minyak yang Afghanistan bergantung,” tulis mereka.

Pakar ekonomi berkata, tawaran AS baru-baru ini untuk memberi Taliban akses kepada separuh wang dengan menubuhkan amanah dengan pengawasan antarabangsa adalah tidak mencukupi.

“Kesemua AS$7 bilion penuh itu adalah milik rakyat Afghanistan,” kata mereka lagi

Sementara itu, The National News melaporkan kesemua pakar ekonomi berkenaan amat prihatin dengan bencana ekonomi dan kemanusiaan yang semakin meningkat di Afghanistan.

“Tanpa akses kepada rizab asingnya, bank pusat Afghanistan tidak dapat menjalankan fungsi normalnya yang penting. Dan tanpa bank pusat yang berfungsi, ekonomi Afghanistan bakal runtuh,” tulis mereka.

Antara yang menandatangi sokongan berkenaan termasuklah pemenang hadiah Nobel ekonomi, Profesor Joseph Stiglitz, dan Yanis Varoufakis, yang berkhidmat sebagai menteri kewangan Greece.

“Tujuh puluh peratus isi rumah Afghanistan tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka. Sekitar 22.8 juta orang iaitu lebih separuh daripada populasi  negara itu menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk, dan tiga juta kanak-kanak berisiko kekurangan zat makanan,” ujar kenyataan pakar-pakar ekonomi berkenaan. -HARAKAHDAILY 11/8/2022