Keciciran pelajar membimbangkan: KPM digesa segera bertindak

Fakta bahawa seramai 24,941 calon tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021 adalah sesuatu yang amat mengejutkan dan menimbulkan kebimbangan terhadap prospek masa hadapan golongan anak muda di negara ini. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar segera bertindak dengan membuat kajian menyeluruh bagi mengenal pasti faktor masalah keciciran pelajar yang berlaku di negara ini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (PENDIDIK), Normala Sudirman berkata, masalah yang berlaku di semua peringkat pengajian di Malaysia itu kini semakin membimbangkan.

Permasalahan itu timbul susulan laporan hasil kaji selidik yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019  yang mendapati 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara. 

- Advertisement -

Menurut Normala, merujuk kepada laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan  Malaysia, ia adalah sesuatu yang amat mengejutkan yang mana, didapati seramai 24,941 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun  2021.

Tambah beliau, golongan muda merupakan aset kepada sesebuah negara kerana mereka merupakan generasi pewaris kelangsungan kepimpinan negara pada masa akan datang. 

“Kebarangkalian tuntutan kehidupan dan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini menjadi punca golongan muda ini tidak meneruskan pengajian,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.

Selain itu, ujarnya, penularan wabak pandemik Covid-19 yang begitu lama melanda di seluruh dunia termasuk Malaysia juga turut menjadi faktor yang menyebabkan kebanyakan anak muda memilih untuk tidak meneruskan pengajian.

Normala Sudirman

“Kita cukup sedar dan sedia maklum bahawa akibat pandemik Covid-19, berlaku kadar pengangguran yang tinggi dan banyak kilang serta kerja pembinaan terpaksa dihentikan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. 

“Golongan anak muda pula sanggup berhenti sekolah untuk untuk membantu keluarga mereka mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga,” ujarnya. 

Normala berkata, sehubungan itu, keprihatinan pihak kerajaan amat penting bagi menyalurkan bantuan terhadap golongan muda. 

PENDIDIK menurutnya lagi, berharap agar golongan anak muda tidak patah semangat dan berputus asa apabila berdepan dengan rintangan atau cabaran mendatang kerana kehidupan ini perlu diteruskan dengan penuh semangat dan azam serta jiwa yang kental.

“Adalah diharapkan semasa berada di era fasa endemik ini supaya semangat anak muda semakin berkobar-kobar dan bersemangat untuk memulakan azam menyambung pengajian ke peringkat universiti atau institusi pengajian tinggi semula.

“Golongan muda perlu sentiasa bersifat optimis dan berani membuat anjakan paradigma dalam mendepani cabaran mendatang tanpa rasa jemu dan putus asa,” ujarnya.  – HARAKAHDAILY – 28/07/2022

- Advertisement -