Penubuhan bank susu ibu mampu perkasa maqasid syariah

- Advertisement -

SAYA menzahirkan sokongan penuh terhadap penubuhan bank susu ibu, Pusat Susu Bonda Halimatusaadiah yang merupakan bank susu ibu patuh syariah pertama di Malaysia. 

Pelbagai aspek berkaitan syariah telah diberi perhatian antaranya sumber susu, kekerapan kekenyangan bayi, ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu mengenali antara satu sama lain selain wajib mendapat keizinan suami. 

Langkah ini membawa maslahah yang amat besar kepada masyarakat terutama bayi-bayi yang dilahirkan secara pramatang. Hal ini kerana, susu ibu yang dihasilkan dapat menyelamatkan nyawa bayi pramatang selari dengan maqasid lima, menjaga nyawa (hifz nafs) dalam masa yang sama, SOP yang dijaga ketat mampu memelihara kesucian hubungan mahram susuan itu sendiri sekali gus mampu mengelak percampuran nasab secara syarie seperti mana firman Allah taala dalam surah an-Nisa’ ayat 23;

- Advertisement -

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَة

“Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.”

Tambahan pula, susu ibu bukan sahaja diperlukan oleh bayi pramatang malah ia juga diperlukan kepada bayi yang kematian ibu serta ibu yang mempunyai penyakit dan sebagainya. Hal ini kerana, susu ibu mengandungi segala jenis zat yang diperlukan oleh bayi. 

Justeru, saya menyeru semua pihak terutama pihak kerajaan untuk menyahut usaha ini agar ia mampu diperluas dengan lebih banyak pusat bank susu ibu patuh syariah ditubuhkan. Hal ini bagi memastikan lebih banyak nyawa bayi pramatang khususnya, dapat diselamatkan sekali gus Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa (hifz nafs) dan menjaga nasab (hifz nasab) dapat diperkasakan. 

Islam Menyatukan Ummah”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 28/7/2022

- Advertisement -