PAS Perlis kumpul dana bantu mangsa banjir Baling

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, begitulah keprihatinan rakyat Malaysia jika berlaku musibah di mana-mana sahaja.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata ekoran kejadian kepala air di Baling pada Isnin lalu, PAS Perlis turut melancarkan kutipan derma dan sumbangan daripada orang ramai untuk membantu mangsa banjir.

- Advertisement -

“Kita amat mengalukan sumbangan wang tunai yang boleh disalur melalui akaun Bank Islam, 090 100 1000 5759 atas nama Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis.

“Begitu juga sumbangan bahan mentah seperti beras, makanan kering, susu bayi, toto serta selimut diterima,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiga pusat pengumpulan sumbangan dibuka, iaitu di Kompleks Tarbiyah PAS Bukit Kerang (KOMTAR), Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) dan Pejabat Khidmat Dun Sanglang.

“Saya merakam ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat, terutama mereka yang kehilangan keluarga tersayang akibat bencana tersebut.

“Semoga mereka dapat bersabar dan tabah menempuh ujian yang menimpa baru-baru ini, ” ujarnya.

Sementara itu katanya Khidmat Malaysia (KM) serta Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis membuat pemantauan awal mengenai jenis bantuan dan kerosakan yang diperlukan mangsa banjir di Baling.

Menurut wakil pemantau KM, Amirul Jufri Mat Saman, pihaknya mendapati banyak kediaman yang memerlukan khidmat pembersihan tenaga sukarelawan.

“InsyaAllah kita akan menghantar bantuan awal bagi menyertai Ops Cuci kerana banyak rumah dan premis di tempat kejadian memerlukan khidmat tersebut.

“Selain itu, keperluan harian kepada mangsa terjejas juga amat diperlukan seperti makanan kering, alatan tidur dan alatan kebersihan diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/22

- Advertisement -